KTMB bakal perkenal aplikasi super, libat perkhidmatan pengangkutan awam lain

3 hours ago 1

PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal membangunkan aplikasi super melibatkan beberapa agensi di negara bagi memberi manfaat kepada pengguna pengangkutan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd. Rani Hisham berkata, aplikasi tersebut bukan sahaja melibatkan industri kereta api malah menyokong sistem pengangkutan lain seperti Prasarana, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) dan Perkhidmatan Rel Ekspres (ERL).

“Aplikasi ini akan dilancarkan bulan hadapan, selain itu kami akan perkenalkan sistem pengumpulan mata ganjaran bagi pelanggan yang menggunakan perkhidmatan KTMB yang kita panggil program kesetiaan pelanggan.

“Pelanggan boleh mengumpul mata dan tebus ganjaran seperti tiket percuma dan barangan KTMB yang mana kita telah bekerjasama dengan beberapa jenama. Kami juga akan berusaha menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat pengangkutan lain melalui aplikasi yang lebih mudah,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat Ibu Pejabat Media Mulia Sdn Bhd. di sini hari ini.

Selain itu, Mohd. Rani Hisham berkata, sempena sambutan ulang tahun yang ke-140 KTMB, pihaknya bertekad memenuhi permintaan pelanggan serta menjalankan tanggungjawab sosial seiring dengan perkembangan semasa.

“Sebagai syarikat yang sudah beroperasi selama 140 tahun, jangkaan pelanggan sememangnya tinggi. Pelanggan juga membandingkan perkhidmatan dengan syarikat-syarikat baharu, jadi KTMB perlu berikan yang terbaik dan menepati masa.

“Maklumat berkaitan syarikat juga perlu tepat dan pantas kerana dalam era digitalisasi ini, sekiranya kami tidak mendigitalkan sistem, menepati masa, informasi tidak tepat dan menambahbaik komitmen untuk orang awam, maka kita tidak akan memenuhi jangkaan pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, KTMB bakal berkembang menerusi pembawaan kargo dari Malaysia ke China serta beberapa lagi negara lain.

“Tahun lalu KTMB telah membuat pelancaran awal namun belum lagi membuat perkhidmatan tetap namun kita harap ia dapat dimuktamadkan hujung tahun ini. Dengan kerjasama daripada Kementerian Pengangkutan, kami juga telah berbincang bersama Thailand, Laos, dan Kazakhstan.

“Apabila kami mempunyai perkhidmatan tetap yang boleh membawa kargo ke China maka KTMB juga boleh bergerak ke arah negara Barat, Eropah dan Eropah Timur akan menjadi mudah,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |