KPT nafi dakwaan abaikan pelajar B40 lanjut pengajian

4 hours ago 4

KULAI – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan dakwaan kononnya kerajaan tidak membantu golongan B40 untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), sebaliknya menyifatkan tuduhan tersebut sebagai permainan politik pihak tertentu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kementeriannya sentiasa memastikan pelajar yang layak menerima bantuan termasuk pinjaman dan inisiatif pendidikan tidak tercicir daripada melanjutkan pengajian.

Menurut beliau, pelbagai bentuk bantuan telah disediakan khususnya kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah bagi memastikan mereka berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Dakwaan itu tidak benar. Namun, biarlah mereka yang mahu bermain politik terus berbuat demikian.

“Kita lebih memberi tumpuan kepada usaha membantu pelajar kerana perkara ini sangat penting demi memastikan mereka dapat melanjutkan pelajaran,” katanya selepas majlis penyerahan Biasiswa Anak e-Kasih PTPTN (BAeK PTPTN) di Taman Puteri di sini hari ini.

Zambry berkata, pelajar daripada keluarga yang tersenarai dalam sistem e-Kasih akan menerima manfaat yang disediakan secara automatik.

Bagaimanapun katanya, terdapat juga keluarga yang menghadapi kesukaran hidup tetapi tidak berada dalam pangkalan data berkenaan, justeru mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan bantuan disalurkan.

“Apabila sesebuah keluarga berada dalam kategori e-Kasih, mereka akan menerima manfaat secara automatik.

“Namun, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kategori itu kerana ada juga keluarga yang sangat susah tetapi tidak tersenarai,” katanya.

Beliau berkata, KPT turut mengarahkan pihak pengurusan universiti mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan kewangan termasuk pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain pinjaman PTPTN, katanya, pelajar yang memerlukan turut boleh mendapatkan bantuan melalui Yayasan Perkasa Siswa.

“Jika ada pelajar yang menghadapi masalah dan tidak dikenal pasti oleh pihak universiti, mereka boleh tampil memaklumkan kepada kita dan kita akan membantu mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |