KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh pelaksanaan dasar sedia ada melalui pelbagai intervensi bersifat kontekstual bagi menangani isu keciciran pelajar.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, daripada keseluruhan 5,153,093 murid di sekolah KPM, seramai 1,496 murid cicir di peringkat rendah, membabitkan 1,275 murid Bumiputera dan 221 murid bukan Bumiputera.
Beliau berkata, di peringkat menengah pula, seramai 25,626 murid cicir membabitkan 19,347 murid Bumiputera dan 6,279 murid bukan Bumiputera.
“Bagi menangani isu ini secara lebih berfokus mengikut keperluan komuniti rentas etnik dan lokaliti, KPM memperkukuh pelaksanaan dasar sedia ada melalui pelbagai intervensi bersifat kontekstual.
“Pendekatan ini tidak berpaksikan faktor etnik atau lokaliti semata-mata, sebaliknya berteraskan prinsip kesamarataan akses pendidikan dan memberi keutamaan kepada murid yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang mereka, demi memastikan tiada yang tercicir daripada sistem pendidikan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai statistik keciciran pelajar B40 mengikut etnik serta bagaimana dasar sedia ada ditambah baik untuk memastikan intervensi lebit berfokus mengikut keperluan komuniti rentas etnik dan lokaliti.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, antara inisiatif dilakukan ialah peluasan Program Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) kepada Program Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) bagi memastikan akses pendidikan yang berterusan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Sehingga kini terdapat 30 sekolah program K9 di seluruh negara, manakala sekolah program K11 dilaksanakan di lima sekolah di Pahang, Perak, Sarawak dan Selangor.
“KPM turut menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan merangkumi bantuan khusus dan bantuan umum bagi meringankan beban kewangan keluarga serta menggalakkan murid kekal bersekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE