KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang mendapatkan maklumat daripada pemain industri berhubung kesan pelaksanaan cukai jualan perkhidmatan (SST) ke atas ekosistem getah domestik.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah tersebut bagi memastikan kesan cukai berkenaan dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang tindakan diambil.
“Saya sedang mendapatkan maklumat daripada pemain industri. Nanti bila kita dah dapat kita tengok apa kesannya, saya akan bawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dana Hubungan Industri 2.0 (ILF 2.0) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia yang menyeru kerajaan menangguhkan pelaksanaan cukai lima peratus ke atas bahan mentah lateks getah asli (NR) dan lateks getah nitril butadiena (NBR), yang disenaraikan di bawah perintah terkini P.U.(A) 170/2025.
Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, inisiatif ILF 2.0 yang dilancarkan Majlis Getah Malaysia (MRC)mampu memperkukuhkan industri getah melalui penyelidikan dan pembangunan
(R&D) serta kerjasama antara industri dan akademia.
“ILF 2.0 dapat memainkan peranan sebagai pemacu untuk membawa hasil penyelidikan ke pasaran, menghubungkan industri dengan intelek, serta melahirkan penyelesaian yang boleh mengubah struktur industri getah.
“Versi baharu ini lebih bersasar dan lebih strategik, menumpukan kepada pembangunan produk getah bernilai tinggi, amalan pengeluaran yang mampan, serta pra-pengkomersialan yang agresif,” katanya.
Selain itu katanya, MRC turut memperkenalkan penambahbaikan terkini Dana Automasi dan Teknologi Hijau (FAGT), sebuah lagi inisiatif MRC untuk menyokong transformasi digital dan automasi dalam sektor getah.
“Langkah ini amat bertepatan dengan cabaran industri semasa yang menuntut kita untuk beralih ke arah teknologi hijau, mampan dan berasaskan data.
“Industri yang tidak beralih kepada automasi dan tidak menghijaukan operasinya bukan sahaja akan ketinggalan, malah disisih oleh pasaran global yang semakin beretika dan berprinsip,” katanya. – KOSMO! ONLINE