Kos ubah suai motosikal ekstrem cecah RM18,000

8 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Trend pengubahsuaian motosikal secara ekstrem yang menelan belanja sehingga RM18,000 sebuah dikesan semakin membimbangkan apabila melibatkan komponen penting sehingga menjejaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, antara modifikasi yang sering dikesan ialah menanggalkan brek belakang, menggunakan tayar sotong, menukar enjin, memasang ‘swing arm’ panjang, mengubah suai ekzos serta sistem kawalan enjin.

Menurutnya, perkembangan itu menyebabkan JPJ memperhebatkan pelaksanaan Op Motosikal (Extreme) di seluruh negara dengan memberi tumpuan terhadap motosikal yang diubah suai secara tidak sah.

“Berdasarkan operasi motosikal yang dibuat, terdapat penunggang berusia 12 tahun yang ditahan, tapi kebanyakan berusia 18 hingga 30 tahun.

“Motosikal yang kita sita setakat ini, paling mahal yang diubah suai ialah RM9,000. Tapi lingkungan harga ubah suai paling murah ialah RM5,000 hingga RM18,000,” katanya pada sidang akhbar Op Extreme, di sini hari ini.

Beliau berkata, pengubahsuaian melampau itu meningkatkan risiko kemalangan kerana mengubah spesifikasi asal yang ditetapkan pengeluar.

Katanya, lebih 60 peratus kemalangan maut di Malaysia melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa golongan tersebut masih menjadi pengguna jalan raya yang paling terdedah kepada risiko kecederaan serius dan kehilangan nyawa akibat kemalangan,” ujarnya.

Muhammad Kifli berkata, berdasarkan pangkalan data JPJ, sebanyak 848,885 notis JPJ(P)22 dikeluarkan pada tahun 2024, diikuti 711,722 notis pada tahun 2025.

“Tahun ini setakat Mei, sebanyak 252,118 notis dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Menurut beliau, bermula 2021 hingga Mei lalu, sebanyak 38,959 motosikal telah disita untuk tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“JPJ juga telah mendapat izin dakwa terhadap pesalah lalu lintas di bawah Seksyen 42 APJ 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |