PETALING JAYA – Tidak sampai 24 jam selepas berpakaian serba hitam masuk ke kamar perbicaraan untuk prosiding pertama tuntutan cerai, isteri kepada pelakon Fikry Ibrahim, Siti Khalizah Alihan memuat naik foto dua tangan saling erat berpegangan seolah-olah memberi bayangan rumah tangga mereka sudah kembali pulih.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Khalizah memuat naik foto tangannya digenggam erat dipercayai suaminya sambil menitipkan ucapan ringkas penuh makna.
“Terima kasih yang mendoakan kebahagiaan kami,” tulisnya.
Meskipun tidak menampakkan wajah, nama pelakon Kerana Dia Suka itu ditulis jelas dalam kapsyen berkenaan.
Tindakan itu sekali gus meredakan teka-teki yang menyelubungi rumah tangga pasangan tersebut sejak Mei lalu.
Rata-rata netizen meluahkan rasa lega dengan perkembangan itu, malah ada yang mula berseloroh mengatakan tindakan Khalizah sebelum ini hanyalah kerana merajuk.
“Rasa macam tengok babak drama TV3. Ada gaduh, ada baik. Syukur, bahagia semula,” komen seorang pengguna media sosial.
“Ini bukan cerai betul, ini merajuk ‘power’ punya,” usik netizen lain.
“Alhamdulillah. Semoga terus kekal sampai ke syurga, sayang lah nak nercerai, rumah tangga baru lagi dibina ,” doa seorang peminat.
Sebelum ini, Khalizah hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada pagi semalam bagi membatalkan permohonan cerai yang difailkan sekitar Mei lalu.
Kemelut rumah tangga mereka menjadi perhatian apabila Fikry menafikan desas-desus perceraian dan menegaskan masih bahagia bersama isteri.
“Dia datang ke mahkamah untuk tarik semula permohonan. Kami okay, bahagia. Doakan yang baik-baik,” katanya.
Fikry atau nama sebenarnya, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 31, turut tampil mengulas isu tersebut ketika bersiaran langsung dalam rancangan Melodi dan memberi jaminan untuk mempertahankan perkahwinan mereka.
Namun, ketika ditemui media sebaik selesai rancangan itu di Balai Berita, Bangsar, Fikry enggan memberi sebarang komen lanjut.
Fikry dan Khalizah berkahwin pada 12 Februari lalu dalam majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat. – KOSMO! ONLINE.