Klinik STL bakal cetus transformasi bakat belia

8 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Klinik Liga Sepak Takraw (Klinik STL 2025) kembali untuk edisi 2025 dengan pendekatan lebih menyeluruh dan eksklusif, membawa misi mencungkil bakat-bakat muda sukan sepak takraw dari peringkat akar umbi.

Sasaran utama membentuk generasi baharu bintang sukan negara berumur 13 hingga 17 tahun untuk menyerlahkan bakat mereka melalui sesi latihan intensif dan pendedahan profesional.

Antara keistimewaan utama tahun ini ialah peluang untuk peserta terbaik dari setiap lokasi terpilih menyertai Kem Latihan Asas di Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia.

Pusat pembangunan sukan pertama seumpamanya di Malaysia ini lengkap dengan kemudahan dan struktur latihan lebih baik, termasuk pelbagai fasiliti lengkap serta moden.

Pusat itu berperanan sebagai hab latihan negara dan bakal menjadi platform latihan bertaraf tinggi bagi mencorakkan potensi remaja ke tahap seterusnya, selari dengan hala tuju pembangunan bakat sukan negara.

Pusat Akademi Sepak takraw itu bakal menjadi lokasi impian bagi bakat muda terpilih untuk mendapat bimbingan intensif daripada jurulatih dan pemain kebangsaan menggunakan modul pembangunan profesional dirangka khusus untuk mencungkil dan membentuk generasi bintang sukan masa depan.

Klinik STL 2025 akan berlangsung di empat lokasi yang juga gelanggang rasmi STL Premier di Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Menurut Nicholas John, Ketua Bahagian Sukan Astro, ia merupakan inisiatif berterusan dalam memastikan pembangunan sukan sepak takraw di peringkat akar umbi terus berkembang secara mampan.

“Musim ini kami berkerjasama dengan pihak Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dengan lebih meluas bukan hanya melibatkan kejohanan kompetitif STL, malah program pembangunan bakat melalui Klinik STL.

“Kami bukan sahaja mendekatkan sukan ini kepada belia, tetapi juga membuka ruang untuk mereka merasai sendiri pengalaman latihan bertaraf profesional di Pusat Akademi Sepak Takraw,” katanya.

Sebagai tambahan, Klinik STL 2025 turut menjelajah ke sekolah terpilih di Pahang dan Terengganu bagi memperluas capaian kepada pelajar sekolah bandar dan luar bandar.

Inisiatif itu turut dijayakan sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |