Kirim hadiah kahwin sekali hantar santau

6 hours ago 3

PETALING JAYA – Seorang pengamal perubatan Islam mendakwa pernah mengendalikan kes gangguan sihir yang dikatakan berpunca daripada hadiah perkahwinan diterima sepasang pengantin baharu sehingga menyebabkan rumah tangga mereka bergolak selepas sebulan.

Perkongsian tersebut dimuat naik menerusi akaun TikTok milik sebuah pusat rawatan Islam, Pusat Rawatan At Taubah yang menceritakan pengalaman menerima panggilan daripada seorang wanita mendakwa tidak lagi mampu bertahan dengan perubahan sikap suaminya.

Menurut wanita itu, suaminya yang sebelum ini dikenali sebagai seorang yang lembut tutur kata dan menjaga solat tiba-tiba menjadi panas baran, membenci dirinya tanpa sebab serta sering memaki hamun selepas kira-kira sebulan berkahwin.

“Dia kata meluat tengok muka saya, bau saya macam bangkai. Dia kerap suruh saya berambus dan kadang-kadang naik tangan,” dakwa wanita tersebut seperti diceritakan dalam perkongsian berkenaan.

Susulan itu, pasangan berkenaan dibawa mendapatkan rawatan dan pengamal perubatan Islam terbabit mendakwa mengesan tanda-tanda gangguan yang dipercayai berkaitan sihir pemisah.

Menurut perkongsian tersebut, selepas sesi rawatan dijalankan, keluarga pasangan itu diminta memeriksa bawah katil di rumah mereka bagi mencari sebarang objek mencurigakan yang mungkin menjadi punca gangguan.

Bagaimanapun, pemeriksaan yang dilakukan hanya menemukan beberapa hadiah perkahwinan yang masih disimpan di lokasi berkenaan.

Pengamal itu kemudian meminta pasangan tersebut mengingati semula sama ada berlaku sebarang perubahan selepas mereka membuka hadiah-hadiah berkenaan.

“Si isteri kemudian teringat pergaduhan besar pertama berlaku selepas mereka membuka beberapa kotak hadiah pada malam tertentu,” katanya.

Beliau mendakwa salah satu hadiah tersebut menjadi punca gangguan selepas wanita berkenaan berasa loya dan muntah ketika memegang sebuah kotak yang mengandungi cawan perhiasan.

Menurutnya, gangguan itu dipercayai bukan berpunca daripada barang tersebut, sebaliknya sesuatu yang didakwa telah dicalit pada bahagian luar hadiah berkenaan.

“Kamu letak sikit minyak buluh tumpat dalam air dan jirus pada hadiah tu. Buluh tumpat adalah buluh pembatal dan penawar bagi yang ada gangguan. Kemudian kamu hancurkan
dan bakar sambil baca ayat kursi,” kongsinya yang memberi arahan kepada wanita terbabit.

Dakwanya, keadaan rumah tangga pasangan itu kembali pulih dan harmoni kira-kira seminggu selepas proses berkenaan dilakukan.

“Alhamdulillah, selepas seminggu, si isteri mesej beritahu keadaan rumah tangga mereka kembali harmoni. Alhamdulillah semua ini asbab sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |