IPOH – Polis menahan lima warga Myanmar dan merampas pelbagai barangan bernilai RM111 juta selepas menyerbu sebuah kilang haram memproses sisa elektronik (e-waste) di Kawasan Perindustrian Pengkalan, Lahat di sini semalam.
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi pada pukul 7 malam itu dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak.
Katanya, serbuan tersebut dilakukan selepas risikan selama sebulan mendapati premis yang menjalankan aktiviti memproses sisa e-waste, plastik, logam dan aluminium itu beroperasi tanpa kelulusan JAS.
“Pemeriksaan lanjut di premis dekat kawasan kilang itu menemukan sebanyak 1,500 beg bersaiz jumbo berisi sisa e-waste, aluminium, logam dan plastik.
“Dalam serbuan tersebut, pasukan serbuan turut menjumpai beberapa peralatan dan jentera yang dipercayai digunakan untuk memproses sisa e-waste,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam serbuan itu, pekerja asing termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun ditahan di mana kesemua mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.
Katanya, kesemua mereka telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kita masih lagi sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti jumlah sebenar e-waste yang terdapat dalam beg jumbo yang masih belum diproses.
“Bagi kesalahan e-waste, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 34A dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Sisa e-waste, peralatan dan jentera akan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, Briged Utara Pasukan Gerakan Am bersama JAS giat melakukan pengawasan dan rondaan di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang berkaitan e-waste.
“Kita akan terus komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE