BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak sekadar mengharapkan pukulan smash dan ‘drop’ semata-mata ketika melakar sejarah muncul juara pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis.
Sebaliknya, kedua-dua pemain itu turut bergantung kepada fokus serta keyakinan ketika membenam pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada perlawanan akhir di Adidas Arena malam kelmarin.
Ee Wei berkata, rentak juara mereka itu bermula sebaik sahaja mendapat keyakinan serta tonik tambahan ketika memenangi pusingan ketiga menewaskan beregu Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu.
Justeru, ia menjadi kunci utama buat beregu No. 4 dunia itu dalam laluan mereka untuk menjadi beregu campuran pertama Malaysia yang menjadi juara dunia sejak kejohanan tersebut dipertandingkan pada 1977.
“Ini adalah Kejohanan Dunia dan apabila berjaya memenanginya, anda akan bergelar juara dunia. Secara jujur, kami berdepan banyak tekanan sehingga pusingan 16 terbaik, tetapi berjaya menghadapinya dengan baik.
“Selepas itu barulah kami dapat bermain lebih tenang dan mengeluarkan permainan sebenar. Kemenangan yang sangat bermakna kerana kita juga sedang menyambut Hari Kemerdekaan, jadi kami lawan sahaja,” katanya.
Pada aksi final kelmarin, Tang Jie-Ee Wei memastikan gelaran dunia menjadi milik mereka selepas mencatat kemenangan straight set 21-15, 21-14 ke atas Zhen Bang-Ya Xin dalam tempoh 40 minit.
Sementara itu, Tang Jie menyuarakan rasa bangga serta gembira apabila dapat menyambar gelaran dunia selain menyifatkan persediaan dari segi mental dan fizikal menjadi azimat buat mereka dalam perlawanan tersebut.
“Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata mengenai pencapaian ini, tetapi gembira kerana sudah bergelar juara dunia. Saya fikir persiapan kami dari segi mental sangat penting dan pemikiran kami juga jelas,” ujarnya.
Sebagai rekod, Tang Jie-Ee Wei menjadi beregu campuran kedua negara yang meraih pingat di Kejohanan Dunia selepas gandingan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty memenangi gangsa pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol.