Keupayaan PDRM tangani ‘terrorisme’ diiktiraf dunia – Saifuddin

5 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani ancaman ‘terrorisme’ (keganasan) diiktiraf peringkat antarabangsa termasuk kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi kepakaran PDRM dalam usaha membawa pulang dua rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan di Teluk Guantanamo, Cuba.

“Dalam kes ini menunjukkan Cawangan Khas PDRM mempunyai kepakaran dan kelebihan yang mampu meyakinkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

“Ini bermakna kita boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah untuk menangani ancaman keganasan supaya tidak lagi menjadi ancaman dalam negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan dua rakyat Malaysia yang ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo, Cuba sejak 18 tahun lepas, selamat tiba di tanah air pada Disember 2024.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, mempunyai KPN yang berwibawa seperti Tan Sri Razarudin Husain (Ketua Polis Negara ke-14) memainkan peranan penting dalam membawa dua individu itu kembali ke negara ini.

Menurutnya, kualiti yang diingatinya terhadap Razarudin ialah ketenangannya terutama dalam kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei tahun lalu.

“Dalam kemelut dan ancaman seperti itu, kata kunci yang kena ada kepada kepimpinan pasukan adalah ketenangan hadapi isu dengan tenang, cari punca masalah, naratif yang dikongsikan perlu meyakinkan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, pelantikan KPN bukanlah satu anugerah, sebaliknya amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh individu yang memegang jawatan itu.

Terdahulu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilantik sebagai KPN ke-15 bagi menggantikan Razarudin berkuat kuasa hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |