Kes tembak Brickfields: 5 individu dibebaskan, reman ditolak

8 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Lima individu yang ditahan berhubung kes tembakan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambathan, Brickfields pada Jumaat lalu, dibebaskan hari ini.

Peguam mewakili lima individu itu, Sivahnanthan Ragava berkata, ia susulan permohonan reman selama tujuh hari ke atas kesemua suspek telah ditolak mahkamah.

Menurutnya, kelima-lima lelaki berkenaan bukan individu yang melepaskan tembakan, sebaliknya hanya berada di lokasi kejadian dan duduk semeja dengan mangsa yang maut.

“Saya hadir ke prosiding permohonan reman hari ini yang dikemukakan pihak polis terhadap lima individu yang berada di tempat kejadian.

“Namun, mereka bukan penembak. Mereka adalah rakan mangsa dan turut menjadi sasaran serangan,” katanya ketika ditemui Ibu Pejabat Daerah Brickfields, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis mengemukakan permohonan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, namun ia dibantah atas alasan tiada kaitan.

“Salah seorang daripada mereka turut mengalami kecederaan tembakan di bahagian tepi dada dan masih dalam tahanan. Bagaimana seseorang yang ditembak boleh dianggap sebagai suspek pembunuhan?

“Seksyen 302 sepatutnya hanya digunakan terhadap pelaku jenayah. Jika mereka hanya saksi, prosedur undang-undang yang betul ialah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah,” ujarnya.

Sivahnanthan berkata, beliau telah menunjukkan beberapa rakaman video tular di sosial media kepada majistret sebagai bukti bahawa anak guamnya hanya cuba menyelamatkan diri dalam insiden tersebut.

“Pihak mahkamah bersetuju dengan hujahan saya bahawa tiada kaitan langsung yang membolehkan mereka dikategorikan sebagai orang kena tuduh (OKT),” ujarnya.

Terdahulu, dalam kejadian pukul 10.26 malam, seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas ditembak dua individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambathan, Brickfields, di sini, Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |