PHNOM PENH – Kemboja memulakan proses undang-undang yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) terhadap jirannya, Thailand berhubung tuntutan maritim bertindih di Teluk Thailand(Teluk Siam).
Dua negara Asia Tenggara itu terlibat dalam pertikaian wilayah maritim dan sempadan darat sepanjang 800 kilometer selama berdekad-dekad, legasi era kolonial Perancis.
Phnom Penh dan Bangkok memeterai perjanjian gencatan senjata pada Disember 2025 selepas dua pusingan pertempuran berdarah, namun berulang kali menuduh satu sama lain sebagai melanggar gencatan senjata tersebut.
Langkah Kemboja untuk memulakan proses pengantaraan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) itu menyusul selepas Thailand pada bulan lalu membatalkan perjanjian dua hala 2001 mengenai tuntutan maritim bertindih dan penerokaan tenaga.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, Bangkok membatalkan memorandum persefahaman dikenali sebagai MoU 44 itu disebabkan kebuntuan yang berlarutan dalam melaksanakannya.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet pula berkata hari ini bahawa kerajaannya telah menyerahkan notis rasmi kepada Thailand dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres untuk ‘memulakan prosiding perdamaian wajib’ di bawah UNCLOS.
“Kami mengambil langkah ini untuk melindungi kedaulatan dan hak maritim Kemboja selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Kedua-dua Kemboja dan Thailand akan mendapat manfaat daripada penyelesaian adil dan berkekalan yang dipersetujui dengan bimbingan pakar-pakai pendamai antarabangsa,” kata Hun Manet
Kedua-dua buah negara menandatangani konvensyen PBB tersebut.
Dalam pada itu, kementerian tenaga Thai menganggarkan pendapatan masa depan daripada sumber minyak dan gas asli di kawasan tuntutan tertindih itu bernilai sekitar AS$300 bilion (RM1.18 trilion). – AFP

11 hours ago
7









![[VIDEO] Jeti Pangkor sesak, ‘berkicap’ tunggu feri nak balik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-02-at-2.56.05-PM-e1780384202682.jpeg)


![[VIDEO] ‘6 jam selesai imigresen, taubat tak nak masuk Thailand cuti umum’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-02-at-1.02.23-PM.jpeg)




























