Kejohanan Dunia: Aaron-Wooi Yik terlepas gelaran kedua

1 day ago 8

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur tidak dapat membawa pulang gelaran kedua mereka pada Kejohanan Badminton Dunia 2026 yang berlangsung di New Delhi, India.

Pada perlawanan akhir di Stadium Tertutup Indira Gandhi sebentar tadi, juara dunia 2022 itu tewas 17-21, 16-21 kepada pilihan ketiga kejohanan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam tempoh 35 minit.

Aaron-Wooi Yik yang merupakan pilihan keempat kejohanan turun tanpa sebarang tekanan dan memberikan tentangan sengit kepada pasangan No.3 dunia itu sejak set pertama selain tidak memberi peluang kepada Wei Keng-Wang Chang untuk menjarakkan diri.

Bagaimanapun, selepas kedudukan 14-14, pasangan China itu mula meningkatkan tempo permainan dan mengutip mata demi mata sebelum memastikan kemenangan pertama 21-17 ke atas beregu negara.

memasuki set kedua, Wei Keng-Wang Chang terus mengekalkan rentak konsisten dengan menerapkan corak permainan menyerang sehingga menyaksikan mereka mendahului menerusi perbezaan mata cukup besar 7-2.

Kemudian, Aaron-Wooi Yik kembali memperkemaskan permainan dan berjaya merapatkan kedudukan 8-10, namun pasangan China itu mula menjarakkan semula mata 18-11, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan selesa.

Semangat juang yang ada dalam diri Aaron-Wooi Yik menyaksikan mereka mengutip lima mata berturut-turut bagi menjadikan kedudukan 16-18 tetapi masih belum mampu menyekat Wei Keng-Wang Chang memastikan kemenangan 21-16, sekali gus muncul sebagai juara dunia baharu.

Kekalahan yang dialami Aaron-Wooi Yik mungkin menyaksikan Kejohanan Dunia itu sebagai penampilan terakhir mereka tahun ini sebagai pasangan seperti dinyatakan Aaron sebelum ini selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan merombak gandingan utama negara.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik meraih gelaran dunia pertama mereka empat tahun lalu selepas muncul juara edisi 2022 di Tokyo, Jepun menerusi kemenangan 21-19, 21-14 ke atas beregu legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Kemudiannya, beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengikut jejak langkah pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu apabila memenangi Kejohanan Dunia pada edisi tahun lalu yang berlangsung di Paris, Perancis. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |