Keir Starmer letak jawatan Perdana Menteri Britain

3 hours ago 2

LONDON – Pemimpin United Kingdom (UK), Keir Starmer mengumumkan peletakan jawatan hari ini selepas berbulan-bulan mengalami tekanan, perkembangan yang akan menyaksikan Britain mendapat Perdana Menteri ketujuh dalam tempoh sedekad.

Berucap di luar 10 Downing Street, Starmer yang memegang jawatan Perdana Menteri Britain sejak Julai 2024, mengaku hilang sokongan ahli-ahli Parlimen Parti Buruh yang memerintah.

Starmer berkata, beliau telah memaklumkan kepada Raja Charles III tentang keputusannya untuk meletak jawatan supaya pemimpin baharu Parti Buruh dan seterusnya Perdana Menteri dapat dipilih.

Saya akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pemilihan selesai, dan saya akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan penyerahan kuasa berlaku secara teratur,” katanya.

Kuasa Starmer merosot sejak Parti Buruh kalah teruk dalam pilihan raya tempatan dan serantau pada Mei lalu.

Beliau tidak dapat menahan tekanan lebih sengit berikutan pengesahan minggu lalu bahawa pesaingnya, Andy Burnham kembali ke Parlimen, membuka laluan untuk cabaran kepimpinan yang sememangnya dijangkakan.

Burnham yang merupakan ahli politik veteran Parti Buruh, dijadualkan mengambil kerusinya di Dewan Rakyat lewat hari ini selepas menang pilihan raya Parlimen di Makerfield, barat laut England, Khamis lalu.

“Soalan yang ditanyakan parti saya sekarang adalah sama ada saya  paling sesuai untuk memimpin mereka untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” kata Starmer.

Menurut Starmer, beliau telah meminta Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Parti Buruh untuk menetapkan jadual waktu untuk penggantinya, dengan pencalonan dijadualkan dibuka pada 9 Julai ini.

“Ini bagi memastikan bahawa pemimpin baharu berada di tempatnya sebelum Parlimen kembali bersidang September ini selepas cuti musim panas,” jelas Starmer.

Perhatian kini beralih kepada sama ada Burnham akan menjadi ketua Parti Buruh tanpa tentangan sekali gus memberi laluan untuk menduduki kerusi Perdana Menteri, atau sama ada calon lain seperti bekas menteri kesihatan, Wes Streeting akan memutuskan untuk bertanding. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |