KBS tidak campur urusan audit persatuan

11 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan tidak akan mencampuri urusan dalaman mana-mana persatuan sukan termasuk berkaitan proses audit, namun tetap menyokong usaha memperkukuhkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kementerian menghormati autonomi badan sukan, tetapi sebarang isu yang melibatkan pelanggaran undang-undang atau penyalahgunaan dana awam perlu ditangani mengikut saluran sewajarnya.

“Audit telah pun dilaksanakan dan selepas itu kita akan melihat apakah langkah yang sesuai mengikut lunas undang-undang. Jika ada kesilapan atau salah laku, kita serahkan kepada pihak yang berkenaan dan tidak ada kompromi dalam perkara itu, khususnya yang melibatkan dana awam,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan KBS tidak akan masuk campur dalam hal ehwal pentadbiran persatuan kerana perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa organisasi masing-masing.

“Di peringkat KBS, kita tidak mencampuri urusan persatuan. Namun, jika ada perkara yang melampaui batas perundangan dan boleh diambil tindakan, maka tindakan sewajarnya wajar dilaksanakan,” katanya selepas merasmikan Seminar Wanita Dalam Sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Mengulas cadangan supaya laporan audit dibentangkan di Parlimen, Taufiq berkata kementerian sentiasa terbuka terhadap sebarang usaha yang dapat meningkatkan tahap ketelusan dalam pengurusan dana dan tadbir urus sukan negara.

“Kita sentiasa terbuka untuk sebarang proses transparansi. Bukan sahaja audit dalaman, tetapi yang paling penting bagaimana rakyat dapat mengetahui mengenai pengurusan dana dan perkara-perkara berkaitan,” katanya.

Beliau turut menegaskan sokongan terhadap ketelusan itu tidak bermaksud kerajaan akan mencampuri perjalanan persatuan sukan, sebaliknya hanya memastikan setiap proses dilaksanakan mengikut tatakelola yang baik.

“Kita terbuka untuk sebarang usaha bagi memastikan ketelusan audit dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kita tidak mencampuri apa-apa urusan berkaitan persatuan dan langkah yang sewajarnya perlu diambil bagi memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |