Kawalan ketat di Mekah dapat beribadah dengan tenang

12 hours ago 4

PETALING JAYA – Penguatkuasaan ketat peraturan tiada haji tanpa tasreeh yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi berjaya mengekang kegiatan menunaikan haji secara sendiri atau DIY.

Peraturan yang melarang mana-mana individu tanpa visa haji yang sah menunaikan ibadah itu ternyata berkesan dalam mengawal pergerakan serta perjalanan haji musim 1446H/2025M.

Individu yang tidak memiliki tasreeh atau kebenaran bukan sahaja boleh didenda sehingga SAR100,000 (kira-kira RM113,000), malah diusir serta disenarai hitam selama 10 tahun daripada memasuki negara itu.

Penulis yang membuat laporan untuk Utusan Malaysia dan Kosmo! berada di Kota Mekah sejak 1 Mei lalu berkesempatan melihat kawalan yang dilakukan pihak berkuasa Arab Saudi.

Antara lokasi ‘dikawal’ ketat adalah di setiap pintu masuk Masjidil Haram, dengan setiap jemaah diminta menunjukkan visa haji yang dikepilkan di dalam pasport atau kad Nusuk.

Selain itu, pihak berkuasa turut ‘menutup’ Kota Mekah dengan sekatan-sekatan jalan raya di semua laluan masuk ke Tanah Suci tersebut. Lokasi Masyair seperti Mudzalifah, Mina lebih-lebih lagi Arafah turut terkawal.

Pihak berkuasa tidak tertumpu di jalan raya sahaja, malah menempatkan anggota mereka di hotel-hotel penginapan jemaah haji bagi mendatangkan ‘kegentaran’ kepada mereka yang tidak mempunyai tasreeh.

Rata-rata jemaah Malaysia yang ditemui memberitahu mereka bukan sahaja akur de­ngan peraturan tersebut, malah memuji tindakan Arab Saudi memperketatkan kawalan pergerakan.

Ini dikuatkan lagi dengan ke­nyataan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun apabila melihat kawalan ketat dilaksanakan tersebut bukan sahaja memberi kesan positif kepada keselamatan jemaah yang sah, malah mereka dapat menunaikan ibadah di Masjidil Haram dalam keadaan lebih tenang.

Sebaik terbenam matahari Hari Arafah pada 9 Zulhijjah lalu, tiba-tiba kawalan ketat di sekitar Kota Mekah terutamanya di sekitar Masjidil Haram dilonggarkan, sehingga tiada lagi pemeriksaan kad Nusuk di laluan masuk ke Baitullah itu.

Ini merujuk kepada sabda Nabi Muhammad SAW; “Haji adalah Arafah” yang bermaksud wukuf di Padang Arafah adalah rukun haji yang paling penting, jika seseorang tidak melaksanakan wukuf di Arafah, hajinya dianggap tidak sah.

Pada 1 Jun lalu, pihak berkuasa tempatan melaporkan berjaya menghalang kira-kira 270,000 jemaah yang tidak berdaftar daripada memasuki Mekah.

Dalam pada itu, jumlah ke­seluruhan jemaah yang menunaikan haji kali ini merekodkan angka lebih 1.6 juta orang dari 171 negara, paling rendah dalam tempoh 30 tahun kecuali ketika pandemik Covid-19.

Sepanjang 53 hari berada di Tanah Suci, penulis salah seorang daripada 14 petugas media pelbagai agensi bernaung di bawah TH yang membuat laporan mengakui tindakan tegas tersebut berjaya melancarkan operasi haji tahun ini.

Kelmarin, kesemua petugas media sudah tiba di tanah air melalui penerbangan MH8255 bersama-sama kumpulan jemaah KT004.

Kami berharap laporan-laporan yang dibuat sepanjang di bumi berkat tersebut berjaya ‘memanusiakan’ mereka yang berniat membuat ‘haji DIY’ pada tahun-tahun mendatang.

Read Entire Article
Pertanian | | | |