Kaut untung RM225,000 sebulan ‘jual’ pekerja asing

3 hours ago 4

JOHOR BAHRU – Taktik licik dua sindiket yang dipercayai menjadikan kuota pekerja asing sebagai ‘lubuk duit’ dengan membekalkan tenaga kerja kepada majikan lain secara haram akhirnya terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam dua operasi berasingan 4 Jun dan semalam.

Dalam operasi dikenali sebagai Ops Serkap, pihak berkuasa berjaya menahan tiga individu dipercayai bertindak sebagai ejen sindiket selain merampas puluhan pasport asing, wang tunai dan menyita kenderaan yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan mengeksploitasi kelulusan kuota pekerja asing yang diberikan kepada syarikat tertentu sebelum membekalkan pekerja itu kepada majikan lain bagi mengaut keuntungan mudah.

“Modus operandi sindiket adalah menggunakan syarikat yang diluluskan kuota pekerja asing, namun pekerja terbabit tidak digunakan untuk operasi syarikat berkenaan. Sebaliknya mereka dijual atau dibekalkan kepada pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi berkata, serbuan pertama pada 4 Jun lalu di sebuah pejabat agensi pengurusan pekerja asing di Pusat Perdagangan Pandan di sini berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun.

“Pemeriksaan menemukan 36 pasport Bangladesh dan India selain wang tunai RM5,000 dipercayai hasil urus niaga sindiket. Suspek didapati tinggal lebih masa di negara ini,”katanya.

Beliau berkata, serbuan kedua pula dijalankan pada 9 Jun lalu di sebuah pejabat agensi pengurusan pekerja asing di Taman Setia Tropika serta dua pangsapuri di Taman Kempas Utama.

“Hasil operasi, dua ejen dan empat pekerja asing ditahan. Turut dirampas 48 pasport Bangladesh, wang tunai RM4,300 serta dua kenderaan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan sindiket,” ujarnya.

Menurut Mohd Rusdi, siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai membekalkan sehingga 500 pekerja asing kepada pelbagai sektor di seluruh Johor.

“Keuntungan bersih yang diperoleh sindiket dianggarkan mencecah RM225,000 sebulan hasil aktiviti membekalkan pekerja asing secara tidak sah,”katanya.

Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |