‘Kalau tak dapat Tiong Man, jadi burung tekukur pun okey’

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Disebut-sebut sebagai individu yang layak memegang karakter Tiong Man untuk sekuel filem Keluang Man, pelakon Bella Ngasri tidak menolak andai dipertanggungjawabkan untuk watak tersebut.

Namun, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, 45, juga terbuka untuk memegang apa-apa watak dalam naskhah terbabit yang diadaptasi dari siri animasi popular zaman kanak-kanak ramai.

“Sebenarnya dah lama dengar sebelum Keluang Man keluar lagi. Kalau orang sebut-sebut dan calonkan saya, alhamdulillah terima kasih.

“Kalau dapat watak Tiong Man, apa salahnya. Saya jadi kawan Tiong Man pun okey, janji ada dalam cerita sebab saya seronok cerita lama yang saya tengok dulu.

“Netizen saja yang nak. Tukang buat cerita atau pengarah tidak mahu pun tak guna juga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Pada masa sama, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular 35 (ABP35) itu juga akan cuba buat yang terbaik sekiranya diberi peluang membawakan watak Tiong Man.

“Kalau ada orang tak suka, saya boleh jadi burung lain seperti tekukur, pipit, murai atau kakak tua. Mana tahu ada watak lain yang okey.

“Kalau ada permintaan apa saja, saya okey tiada masalah.

“Insya-Allah, saya cuba yang terbaik untuk apa-apa watak pun. Tidak kisah,” ujarnya lagi.

Selain itu, Bell juga memaklumkan siri animasi Keluang Man smeemangnya menjadi naskhah kegemarannya semasa zaman kanak-kanaknya.

“Saya mestilah tengok cerita itu zaman kanak-kanak saya. Tahu perangai Tiong Man yang huru-hara.

“Dia pula ‘side kick’ untuk Keluang Man. Kalau nak cantik lagi bagi saya jadi Keluang Man terus,” selorohnya sambil tertawa.

Sebelum ini, kelibat penyanyi dan pelakon Naim Daniel dalam filem arahan Anwari Arshad menimbulkan spekulasi dalam kalangan penonton kononnya dia akan menggalas watak Tiong Man.

Namun, Penerbit Eksekutif filem Keluang Man, Raja Jastina Raja Arshad menegaskan Naim bukanlah pelakon yang akan menjayakan watak tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |