KUALA LUMPUR – Hampir 30 tahun sebagai sebuah kumpulan rock, antara perkara yang melekatkan Spider sebagai kugiran hingga ke hari ini adalah rasa tanggungjawab antara satu sama lain dan juga para peminat.
Vokalisnya, Tam Spider atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah, 52, berkata, biarpun kian dimamah usia, itu bukan alasan untuk tidak lagi memberikan komitmen terbaik buat band.
“Band ini (Spider) satu tanggungjawab kepada industri. Kalau tukar-tukar flavour (anggota kumpulan), tak seronok untuk para peminat tengok.
“Dulu waktu bujang kami memang sentiasa bersama, sekarang dah lain masing-masing dah ada komitmen.
“Selain benda yang melibatkan muzik, kita buat aktiviti luar kerja bersama seperti riding (tunggang motosikal). Apa-apa sahaja yang boleh kuatkan rasa kebersamaan,” kata Tam kepada Kosmo! Online pada sidang media konsert Spider Unplugged, baru-baru ini.
Ditanya tentang sejauh mana kesan emosi kehilangan dua anggota asal Spider iaitu Allahyarham Tony Iskandar dan Napie terhadap perjalanan Spider, jawab Tam, sehingga kini, dia masih ralat, namun perjuangan muzik tetap harus diteruskan demi mereka.
“Agat ralat kehilangan berlaku sebab sesudah 20 tahun, baru dapat buat konsert pertama tahun lepas.
“Kalaulah mereka masih ada sekarang, lagi best (seronok). Tapi soal ajal bukan di tangan kita, kena teruskan juga (perjuangan).
“Kalau kehilangan Tony dan Napie buat saya murung, saya ingat mungkin hari ini saya tak buat sidang akhbar dah (untuk promosi konsert). Semangat arwah tetap ada dengan Spider sampai sekarang, insya-Allah,” kata Tam sedikit beremosi.
Untuk rekod, bekas pemain bass Spider, Allahyarham Tony Iskandar meninggal dunia selepas ditemukan tidak bernyawa seorang diri di atas sofa di studio rakaman Luncai Emas sekitar 2021.
Tahun lalu, gitaris kumpulan berkenaan, Napie pula dijemput Ilahi gara-gara serangan angin ahmar.
Tempat Tony dan Napie kini masing-masing diisi oleh Is (bass) dan Pown (gitaris utama).
Spider akan menganjurkan konsert Spider Unplugged pada 25 Oktober 2025 di Mega Star Arena, menampilkan susunan muzik akustik dengan elemen string, brass dan percussion untuk pengalaman lebih intim dan dinamik.
Wakil penganjur Naga Legend Entertainment Fandy Alias berkata, Spider dipilih kerana muzik mereka yang kekal relevan dan berpotensi untuk diteroka dalam pendekatan baharu yang lebih segar.
“Walaupun banyak konsert dianjurkan kebelakangan ini, Spider Unplugged pasti beri pengalaman berbeza. Kita dah lama tak ada konsert unplugged berskala besar seperti ini. Siapa yang tak datang, pasti rugi,” katanya.
Tiket dijual pada harga RM198 hingga RM388 dan boleh didapati menerusi laman web www.ilassotickets.com/spiderunplugged. – KOSMO! ONLINE