‘Kalau bukan kerana Sabri saya tak dapat menikmati Islam’

17 hours ago 5

PETALING JAYA – Seperti tidak percaya, pelakon Angeline Tan meluahkan rasa terharu apabila dianugerahkan Anugerah Maulidur Rasul Kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf) pada sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M, hari ini.

Ujar Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan, 58, hatinya dipenuhi rasa syukur selain menyifatkan penghargaan tersebut sebagai anugerah paling berharga dalam perjalanan hidupnya selepas memeluk Islam.

“Saya rasa sangat syukur, rasa terharu dan macam tak percaya, seorang insan kerdil seperti saya diberi anugerah besar pada hari semulia ini.

“Sejak saya masuk Islam, saya bertekad mahu menyampaikan erti sebenar Islam kepada masyarakat bukan Islam supaya mereka tidak salah faham.

“Apabila salah faham dapat dihindarkan, negara kita akan lebih aman dan harmoni. Apabila mereka mula faham, mungkin suatu hari nanti, ada antara mereka turut memilih jalan sama seperti saya,” katanya.

Tambah pelakon yang popular menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu, anugerah tersebut bukan sekadar penghormatan, sebaliknya menjadi satu suntikan semangat untuk terus istiqamah menyebarkan kebaikan.

Paling penting katanya, segala apresiasi harus dikalungkan kepada suaminya, pelakon dan pengarah terkenal Sabri Yunus, yang banyak memberi bimbingan serta menjadi pendorong utama sepanjang perjalanannya sebagai mualaf.

“Anugerah ini benar-benar memberi saya semangat baharu. Ini bukan satu permulaan, tetapi perjalanan panjang sejak saya memeluk Islam. Saya anggap ini misi pertama yang perlu saya laksanakan dengan penuh amanah.

“Saya berdoa agar Allah terus membuka banyak lagi ruang untuk saya berbakti dan melakukan sesuatu yang saya impikan selama ini.

“Penghargaan ini bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk suami saya, abang Sabri, keluarga serta semua insan yang pernah mendoakan kebaikan buat saya. Kalau bukan kerana abang Sabri saya tidak akan dapat menikmati Islam ,” ujarnya.

Selain Angeline, pencipta kandungan digital dan usahawan, Khairul Amin juga turut menerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya pada majlis yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu.

Majlis penuh barakah itu menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah kepada semua penerima. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |