‘Kalau bukan binti Zainal Abidin, maka dia bukan anak saya’

6 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Enggan mengeruhkan lagi keadaan, penyanyi Datuk Zainal Abidin memilih untuk tidak melayan kenyataan anak perempuannya, Timur Gabriel, yang mendakwa dirinya langsung tiada usaha memperbaiki kerenggangan hubungan mereka, baru-baru ini.

Ujar Zainal atau nama sebenarnya Zainal Abidin Mohamed, 65, hanya individu berbintikan namanya sahaja yang layak dianggap sebagai anak kandungnya.

“Kalau saya nak jawab, saya jawab. Tapi sebenarnya, tiada apa-apa untuk dijelaskan. Dia boleh kata apa sahaja dia mahu.

“Namun bagi saya, anak saya mesti di akhir namanya ‘binti Zainal Abidin’. Kalau bukan menggunakan nama itu, maka bukanlah anak saya. Itu sahaja jawapan saya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menyimpan kemas perihal dalam kain, pelantun lagu Hijau itu lebih selesa memberi fokus kepada kerjaya seninya berbanding isu remeh-temeh yang dianggap tidak perlu dijaja kepada khalayak.

“Kalau nak tanya saya percaya atau tidak pada kenyataan dia, jawapan saya, tidak. Dia ada hak untuk berkata apa dia mahu. Silakan. Tapi saya tidak akan membalas apa-apa.

“Kenapa? Sebab saya percaya, Allah lebih mengetahui. Itu pandangan peribadi saya. Saya tidak seharusnya berkongsi tentang hal itu. Saya cuma mahu berkongsi dengan anda mengenai kerjaya saya,” ujarnya pada sidang media Konsert Legasi P. Ramlee di sini, semalam.

Tambah pemenang Anugerah Penghibur Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2004 itu lagi, dia sudah berada di kelasnya tersendiri dan bukanlah figura media sosial yang perlu berkongsi kisah peribadi semata-mata untuk meraih perhatian atau keuntungan.

Paling penting kata Zainal, dia tidak memerlukan individu negatif untuk berada dalam hidup mahupun persekitarannya.

“Saya jaga hal sendiri. Tapi anda boleh lihat sendiri, walaupun saya tidak menjawab secara langsung, siapa sebenarnya yang lebih baik, siapa lebih berjaya.

“Siapa yang sedang berada di landasan betul. Saya bukan TikToker yang kejar duit. Bukan. Saya penyanyi. Saya anak seni dan saya berjaya.

“Saya tidak perlukan orang negatif di sekeliling saya. Mereka boleh bercakap sesuka hati sebab apa yang dikata bukan kebenaran. Kalau perkara itu benar, saya pasti sudah musnah. Jadi cakaplah apa yang nak dikata. Silakan. Saya tiada masalah,” tegasnya.

Terdahulu, sekitar Januari lalu, Timur Gabriel menerusi audio siar Head Over Heels mendedahkan dia tidak mempunyai hubungan rapat dengan bapanya meskipun memiliki nombor telefon penyanyi legenda itu.

Bukan itu sahaja, dia turut meluahkan rasa terkilan apabila bapanya itu seolah-olah tidak menunjukkan sebarang minat terhadap perkembangan hidupnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |