JOHOR BAHRU – Kerajaan diminta meneliti semula kadar tambang perkhidmatan Shuttle Selatan bagi memastikan inisiatif pengangkutan awam itu benar-benar memberi manfaat dan mampu digunakan secara meluas oleh rakyat.
Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan bahawa kadar tambang yang dikenakan ketika ini dikatakan agak tinggi bagi sesetengah laluan, sekali gus berpotensi menjejaskan usaha menggalakkan orang ramai beralih daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani berkata, pelaksanaan Shuttle Selatan merupakan langkah yang baik kerana mampu memperkukuh sistem pengangkutan awam di Johor selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Bagaimanapun, kadar tambang yang dikenakan didakwa perlu dikaji agar selaras dengan matlamat asal pelaksanaannya.
“Sebagai contoh, perjalanan dari Kulai ke JB Sentral sejauh kira-kira 32 kilometer dikenakan tambang RM10.20, sedangkan perjalanan hampir sama jarak di Lembah Klang seperti dari KL Sentral ke Rawang hanya RM4.40.
“Bagi laluan lebih jauh pula, perjalanan dari Kulai ke Pasir Gudang sejauh kira-kira 48 kilometer dikenakan RM16.40, berbanding perjalanan KL Sentral ke Batang Kali yang hampir sama jaraknya dengan tambang RM6.40,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ramlee berkata, isu yang dibangkitkan bukan berkaitan kewujudan perkhidmatan tersebut, sebaliknya sama ada kadar tambang semasa benar-benar mampu menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Jelasnya, jika kos menggunakan pengangkutan awam hampir sama atau lebih tinggi daripada kos menggunakan kenderaan sendiri, matlamat mengurangkan kesesakan jalan raya akan menjadi lebih sukar dicapai.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Kementerian Pengangkutan dan pihak berkaitan diharap dapat meneliti semula struktur tambang yang dikenakan supaya lebih mesra rakyat serta mampu meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
3
















































![[VIDEO] Ramai rupanya ‘rider’ jadi mangsa sambung jalan di MRR2](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-20-at-1.47.35-PM.jpeg)