PETALING JAYA – Pelabuhan Klang masih mengekalkan kadar pengendalian kontena antara yang terendah di rantau ini meskipun berlaku pelarasan tarif secara berperingkat sehingga tahun 2027, kata Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA).
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan beberapa pihak yang mendakwa kadar baharu tersebut kini hampir menyamai Singapura dan Hong Kong, serta lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand.
Namun, PKA dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kadar selepas pelarasan masih lebih rendah antara 5 hingga 185 peratus berbanding pelabuhan utama di ASEAN.
“Kajian penanda aras telah dijalankan secara menyeluruh. Walaupun berlaku peningkatan, Pelabuhan Klang kekal sebagai antara pelabuhan paling kompetitif di rantau ini,” kata Pengurus Besarnya, Kapten K. Subramaniam.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa pelarasan itu akan membebankan industri sehingga RM1.125 bilion setahun, sebaliknya menyifatkan anggaran itu sebagai terlalu tinggi dan tidak tepat.
Menurutnya, jumlah tersebut tidak mengambil kira faktor pelaksanaan berfasa, pengecualian caj untuk simpanan dalam tempoh percuma dan kadar istimewa untuk kontena transhipment.
“Caj tambahan hanya sekitar 0.45 sen sekilogram untuk kontena 20 kaki berisi 20 tan. Ia tidak signifikan dan tidak akan melonjakkan harga barang secara mendadak seperti didakwa,” katanya.
PKA turut mendedahkan bahawa kadar storan kontena di Pelabuhan Klang tidak pernah dikaji semula sejak 1966, malah hanya dikenakan pada kadar RM4 setiap TEU sebelum ini – antara yang paling rendah di dunia.
“Kadar murah itu dikatakan menjadi punca kepada kesesakan kawasan simpanan apabila pelabuhan digunakan sebagai tempat simpanan jangka panjang kos rendah, sekali gus menjejaskan kecekapan operasi.
“Pelarasan kadar terkini akan membantu meningkatkan kelancaran pergerakan kargo, mengurangkan kesesakan dan menyokong sistem logistik yang lebih mampan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pelabuhan Klang kini muncul sebagai pelabuhan ke-10 tersibuk di dunia, dengan kemudahan pengendalian dan rangkaian perkapalan yang kukuh.
Antara syarikat gergasi yang memilih Pelabuhan Klang sebagai pusat pengedaran serantau termasuk; Daiso, IKEA, Nestle Malaysia serta Robert Bosch.
Dalam kenyataan sama, PKA turut menyatakan bahawa Pelabuhan Klang tidak pernah menutup operasi walaupun ketika krisis COVID-19, malah memberi pengecualian caj kepada pemain industri demi menjamin kesinambungan logistik negara.
Tambah Kapten Subramaniam, pelarasan kadar ini diluluskan selepas kajian mendalam dibuat dan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.
“Langkah ini penting untuk kekalkan Pelabuhan Klang sebagai hab maritim utama negara dan rantau Asia. Ia juga akan memastikan pelaburan dalam teknologi, kapasiti dan kelestarian dapat diteruskan demi masa depan ekonomi negara,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE