Anak sulung daripada dua beradik itu bakal beraksi di Sukma bersama tiga pemain senior yang mempunyai pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa, termasuk bintang muda, Addin Iqwan Hilman.
Bagaimanapun, Danish tidak meletakkan sasaran tinggi pada penampilan pertamanya di pentas Sukma, sebaliknya mahu menggunakan peluang tersebut untuk menimba pengalaman beraksi bersama pemain yang lebih berpengalaman.
“Kejayaan antarabangsa pertama saya semestinya memberikan saya keyakinan untuk membuat penampilan pertama di Sukma.
“Tetapi saya baru juara kategori Bawah 15 tahun, manakala di Sukma nanti, pemain-pemain yang beraksi berusia sehingga 21 tahun.
“Jadi, saya hanya akan sertai satu kategori iaitu kategori berkumpulan kerana ramai lagi pemain senior yang dipilih untuk mewakili acara perseorangan.
“Saya akan gunakan kesempatan ini untuk menimba pengalaman daripada pemain-pemain senior yang jauh lebih berpengalaman daripada saya,” ungkap Danish.
Mengulas lanjut, Danish tidak mahu terlalu lama dibuai kejayaan Terbuka China 2026 itu, sebaliknya menjadikan pengalaman berkenaan sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki permainannya.
Antara perkara yang mahu diperbaikinya ialah kawalan emosi ketika berada di dalam gelanggang serta aspek kecergasan bagi memastikan dirinya mampu mengekalkan tahap permainan apabila berdepan lawan yang lebih kuat.
Kawalan emosi menjadi antara aspek penting yang perlu diberi perhatian kerana tekanan dan provokasi ketika perlawanan boleh menjejaskan fokus sekiranya tidak dikawal dengan baik.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah, Dungun, Terengganu itu mengakui pernah terbawa-bawa dengan emosi sehingga mengganggu konsentrasinya untuk kekal fokus memburu mata ketika beraksi.
“Dalam permainan skuasy, kami perlu bergerak pantas dalam ruang gelanggang yang agak sempit.
“Apabila pemain lawan menghalang atau mengganggu pergerakan saya untuk mendapatkan bola, saya boleh terbawa emosi dan hilang fokus untuk memburu mata.
DANISH berada di podium tertinggi Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka China bagi bawah 15 tahun, manakala dua pemain China mendapat tempat kedua dan ketiga.“Jadi, saya kena belajar untuk tahan marah dan kekal tenang supaya permainan tidak terjejas.
“Saya juga perlu tingkatkan lagi kecergasan dalam gelanggang kerana perlu lebih banyak bergerak dan mengejar bola, terutama apabila berdepan pemain yang lebih kuat,” katanya.
Bukan sahaja perlu menjaga prestasi di gelanggang, Danish turut berdepan cabaran membahagikan masa antara latihan dan pelajaran memandangkan jadual hariannya padat dengan aktiviti akademik serta sukan.
Kongsinya, selepas tamat sesi persekolahan, Danish lazimnya akan pulang ke rumah untuk menyiapkan kerja sekolah sebelum ke gelanggang pada pukul 5 petang bagi menjalani latihan sehingga kira-kira pukul 7 malam.
Usai latihan, dia akan pulang untuk menunaikan solat dan makan sebelum menghadiri kelas tuisyen pada waktu malam sehingga pukul 10 malam.
Menurutnya, rutin latihan lima hari seminggu, iaitu dari Ahad hingga Khamis, sudah sebati dengan dirinya selepas beberapa tahun aktif dalam sukan berkenaan.
Menariknya, skuasy bukan satu-satunya bidang yang menjadi tumpuan Danish apabila pelajar tingkatan dua itu turut meletakkan sasaran tinggi dalam akademik.
Danish yang meminati bidang biologi bercita-cita untuk bergelar doktor pada masa depan, malah menyimpan impian melanjutkan pengajian di luar negara jika berpeluang.
Bahkan, remaja yang menyandang jawatan pengawas sekolah itu turut menunjukkan prestasi baik dalam akademik apabila menduduki tempat ke-10 daripada keseluruhan pelajar dalam tingkatan berkenaan pada peperiksaan pertengahan tahun ini.
“Kalau boleh, saya mahu belajar di luar negara dan menjadi doktor. Saya memang minat biologi dan bercita-cita untuk sambung belajar di Universiti Harvard satu hari nanti.
“Dalam masa sama, saya juga tidak mahu meninggalkan dunia skuasy dan memasang impian besar untuk suatu hari nanti menyarung jersi Malaysia di pentas Olimpik sekiranya sukan berkenaan dipertandingkan.
“Perjalanan saya dalam akademik dan sukan masih jauh. Namun, saya sudah perlu mula konsisten dari sekarang agar dapat merealisasikan dua cita-cita tersebut,” katanya.

7 hours ago
7














































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)

