2 lelaki Rohingya pecah rumah pakai topeng didakwa

4 hours ago 3

MUAR – Dua lelaki etnik Rohingya yang tular selepas dipercayai terbabit dalam beberapa siri pecah masuk rumah dengan memakai topeng dan sarung tangan di daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Jamal Hussin Jalal, 30, dan Ramzan Ali Ali, 31, yang masing-masing memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Faizzudin Abd Ra’fik.

Jamal berdepan tiga pertuduhan menceroboh rumah, manakala Ramzan menghadapi satu pertuduhan menyimpan harta curi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Jamal bersama dua lagi individu yang masih bebas didakwa menceroboh tiga kediaman milik mangsa berusia 46, 57 dan 59 tahun.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Taman Sungai Abong Permai, Taman Temiang Jaya dan Taman Permata Indah di sini, masing-masing antara pukul 11.11 malam hingga 3 pagi pada 30 Mei, 19 dan 21 Julai lalu.

Bagi tiga pertuduhan itu, Jamal didakwa mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ramzan didakwa secara tidak jujur menyimpan harta curi berupa seutas jam tangan di sebuah rumah di Taman Peringgit Jaya, Melaka, kira-kira pukul 1.30 pagi pada 26 Julai lalu.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Kelvinder Singh Sidhu.

Mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin bagi pertuduhan pertama, RM1,500 dengan dua penjamin bagi pertuduhan kedua dan RM2,500 dengan dua penjamin bagi pertuduhan ketiga.

Ramzan pula dibenarkan ikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin.

Kesemua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 September ini bagi penyerahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |