JOHOR BAHRU – Tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan menggunakan senjata selain menghalang anggota polis trafik menjalankan tugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
Kejadian kira-kira pukul 12.37 tengah malam, 16 Ogos lalu turut tular di media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan seorang lelaki menghalang dua anggota polis trafik ketika mereka cuba meleraikan pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pegawai polis yang bertugas di pusat kawalan selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya yang melibatkan tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.
“Semasa dua anggota polis trafik BSI cuba menenangkan salah seorang suspek warga asing, lelaki terbabit bertindak membuat provokasi terhadap anggota berkenaan.
“Keadaan kemudian menjadi tegang sehingga berlaku pergaduhan yang dipercayai melibatkan penggunaan senjata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan bersama anggota polis trafik BSI menahan keempat-empat suspek berusia antara 25 hingga 46 tahun.
Dalam operasi antara pukul 12.15 tengah malam hingga 1.45 pagi itu, polis turut merampas sebuah topi keledar dan sebilah pisau yang dipercayai berkaitan dengan kes.
“Semakan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai sebanyak 16 rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap tiga suspek yang dijalankan adalah negatif dadah,” katanya.
Azrul Hisham berkata, kesemua suspek telah direman selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Ogos bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.-KOSMO! ONLINE

20 hours ago
9














































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)

