Barcelona, Rashford mahu kembali ‘rujuk’

8 hours ago 7

BARCELONA – Barcelona dilaporkan masih belum melupakan Marcus Rashford apabila terus berhubung dengan wakil penyerang Manchester United itu bagi membuka kemungkinan membawanya kembali ke Camp Nou sebelum jendela perpindahan ditutup.

Rashford kembali ke Old Trafford musim panas ini selepas Barcelona memilih untuk tidak mengaktifkan opsyen pembelian tetap bernilai €30 juta (RM141 juta), meskipun pemain antarabangsa England itu merekodkan 28 sumbangan gol dalam semua pertandingan musim lalu.

The Catalan itu sebelum ini lebih berminat mendapatkan Rashford sekali lagi secara pinjaman, namun United bertegas hanya mahu mempertimbangkan perpindahan secara tetap memandangkan kontraknya masih berbaki dua tahun.

Situasi tersebut menyaksikan Rashford kembali menyertai skuad utama United buat kali pertama dalam tempoh 18 bulan dengan pengendali, Michael Carrick dilaporkan bersedia memberikannya peluang beraksi musim ini.

Bagaimanapun, masa depan pemain itu masih belum terjamin apabila Barcelona kekal memantau situasinya, malah keperluan kelab berkenaan mendapatkan tambahan pemain serangan semakin mendesak selepas kehilangan beberapa tonggak.

Robert Lewandowski dan Ferran Torres sudah meninggalkan Barcelona, manakala Roony Bardghji pula masih mengalami kecederaan, sekali gus menyebabkan pilihan di bahagian serangan semakin terhad.

Barcelona sudah mendapatkan Anthony Gordon dan Karim Adeyemi, namun urusan memperkuatkan jentera serangan mereka dipercayai masih belum selesai dengan komunikasi bersama kem Rashford terus dikekalkan.

Rashford sendiri dikatakan bersedia untuk kembali ke Catalonia sekiranya peluang tersebut terbuka, tetapi struktur perpindahan berpotensi menjadi penghalang utama dalam usaha merealisasikan kepulangannya.

Persoalan kini terarah kepada United sama ada bersedia melonggarkan pendirian dengan menerima tawaran pinjaman yang mungkin disertakan kewajipan membeli atau terus mengekalkan Rashford bersama skuad Carrick musim ini. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |