FNF Motorsports ada perancangan jangka panjang

22 hours ago 10

KUALA LUMPUR – Pembentukan pasukan FNF Motorsports bukan hanya dibuat untuk menyertai perlumbaan semata-mata, sebaliknya memiliki perancangan serta visi yang lebih luas untuk tempoh jangka panjang.

Pengasa FNF Motorsports, Ali Imran Che Ahmad berkata, pasukan yang dibentuk dalam tempoh tujuh hari itu memiliki banyak sasaran, termasuk pelancongan sukan, industri automotif, pembangunan bakat serta penganjuran pertandingan sendiri.

Jelas beliau, antara perkara yang bakal diberikan fokus oleh FNF Motorsports termasuk Approved Permit (AP), penajaan, kolaborasi strategik serta kerjasama dengan pemain-pemain industri.

“Dalam perniagaan, kadangkala kita tidak boleh menunggu segala-galanya sempurna. Kita perlu berani bermula. FNF Motorsports dibina dalam tujuh hari, tetapi apa yang kami mahu bina selepas itu adalah sesuatu yang jauh lebih besar dan jangka panjang,” katanya.

Tambah Ali Imran, sukan permotoran mampu mewujudkan peluang ekonomi yang lebih luas seandainya digabungkan dengan pelancongan, hospitalilti, gaya hidup, makanan, hiburan, kandungan digital serta aktiviti komuniti.

“Apabila kita bercakap tentang pelancongan sukan, kita bukan bercakap tentang perlumbaan sahaja. Kita bercakap tentang orang datang ke sesuatu lokasi, tinggal di hotel, makan, membeli-belah, menikmati hiburan dan membawa pulang satu pengalaman.

“Itulah ekosistem gaya hidup yang kami mahu bina,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga percaya penganjuran pertandingan sukan permotoran sendiri pada masa hadapan mampu menjadi medan untuk memperkenalkan bakat baharu, membangunkan komuniti pemain serta menarik penaja.

FNF juga memiliki perancangan cukup besar bagi menubuhkan Akademi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memberi tumpuan kepada kemahiran automotif dan sukan permotoran sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan modal insan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |