‘Jika ganggu saksi sekali lagi, jaminan ditarik dan kamu ditahan dalam lokap’

8 hours ago 4

SUNGAI PETANI – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memberi amaran keras kepada seorang pengusaha tahfiz yang sedang dibicarakan atas tuduhan mengabaikan pelajarnya agar tidak mengganggu saksi atau berdepan tindakan penarikan balik jaminan serta direman sehingga perbicaraan selesai.

Hakim Azman Abu Hassan memberi amaran tersebut kepada tertuduh, Shahril Bani Mansor, 42, selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha bahawa isteri kedua tertuduh telah mengambil gambar kereta keluarga salah seorang saksi dan menyebarkannya kepada pihak ketiga.

“Jika kamu, ahli keluarga atau rakan-rakan kamu mengganggu saksi sekali lagi, saya tidak teragak-agak arahkan siasatan menyeluruh dijalankan dan jaminan kamu akan ditarik balik serta ditahan dalam lokap sehingga perbicaraan selesai, mahu begitu?” katanya ketika prosiding, hari ini.

Shahril bagaimanapun menafikan mengetahui kejadian itu seterusnya mendorong mahkamah memanggil isteri keduanya yang berada di galeri awam untuk memberi penjelasan.

Wanita itu mengaku bahawa beliau berhubung dengan pihak ketiga yang bertanya sama ada kes boleh diselesaikan di luar mahkamah, namun beliau menafikan ia boleh dilakukan kerana kes telah dibicarakan.

Dia turut mengakui mengambil gambar kereta keluarga saksi kerana mendakwa ada individu daripada pihak itu merakam video mereka ketika di dalam mahkamah dan memuat naik gambar tersebut di status WhatsApp.

Susulan itu, Hakim Azman sekali lagi menegaskan bahawa tiada pihak termasuk ahli keluarga tertuduh boleh mengganggu saksi dan menasihatkan semua pihak agar tidak melayan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa boleh menyelesaikan kes di luar mahkamah.

“Kes yang telah masuk perbicaraan tidak boleh diselesaikan melalui pihak ketiga. Sebarang urusan mesti melalui Timbalan Pendakwa Raya dan peguam tertuduh, tiada istilah pihak ketiga,” ujarnya.

Peguam bela tertuduh, Aqbal Shiffuddin Adnan Sallehudin memohon agar jaminan anak guamnya tidak ditarik balik memandangkan Shahril tidak mengetahui tindakan isterinya. Hakim bagaimanapun hanya membenarkan jaminan diteruskan dengan amaran keras.

Mahkamah menetapkan 26 dan 27 November depan sebagai tarikh perbicaraan.

Pada Mac lalu, Shahril Bani didakwa di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas tuduhan mengabaikan seorang pelajar lelaki berusia 12 tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah pusat tahfiz di Bedong, dekat sini kira-kira pukul 7.25 pagi pada 1 April 2024.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya. Ketika ini, Shahril dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM3,000 sementara menunggu perbicaraan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |