Jika di MRSM, gurauan macam buli pun kena buang

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tindakan membuli dengan alasan gurauan tidak boleh diterima.

Jelasnya, ia susulan kejadian ‘prank’ sempena hari jadi yang berlaku di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri baru-baru ini.

Tambah Asyraf Wajdi, apa-apa bentuk gurauan melampau yang boleh mencederakan atau memalukan individu adalah perbuatan buli dan perlu dihentikan serta-merta.

“Saya tetap tidak bersetuju dengan gurauan melampau yang boleh mencederakan. Usah menormalisasi buli atas nama gurauan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut memberi amaran bahawa tidak akan berkompromi jika kejadian seumpama itu berlaku di mana-mana daripada 344 institusi pendidikan dan latihan di bawah Mara.

“Kalau berlaku di mana-mana institusi Mara, prinsip saya jelas…#YouTouchYouGo,” tegasnya.

Asyraf Wajdi sebelum ini menggesa pihak polis untuk segera bertindak tegas terhadap sekumpulan pelajar terbabit yang melakukan gurauan melampau ke atas seorang pelajar lain.

Katanya, bergurau secara melampau juga adalah satu bentuk buli dan semua pelaku wajib didakwa agar menjadi pengajaran penting.

Beliau juga memuat naik video memaparkan lima pelajar memegang kaki serta tangan seorang pelajar lain dan dengan sengaja ‘menghayunkan’ bahagian kelangkangnya ke arah tiang sebuah papan tanda.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, kementeriannya sedang melakukan siasatan bebas berhubung video tular memaparkan seorang pelajar di IKBN Miri yang diperlihat seolah-olah menjadi mangsa kekerasan fizikal baru-baru ini.

Katanya, pihak kementerian telah menghantar dua pegawai tertinggi termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Chan Hong Jin ke IKBN Miri awal pagi tadi bagi melakukan siasatan bebas antaranya menyoal siasat pelajar terlibat dalam isu tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |