MEKAH – Kegagalan jemaah haji termasuk tidak memakai kad Nusuk sepanjang berada di Tanah Suci berdepan tindakan tegas daripada kerajaan Arab Saudi termasuk dilarang memasuki Masjidil Haram.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, pemakaian kad Nusuk bukan sekadar pengenalan diri sebaliknya berfungsi sebagai permit rasmi yang menentukan pergerakan jemaah sepanjang musim haji.
Katanya, jemaah haji Malaysia diingatkan supaya tidak memandang ringan pemakaian kad Nusuk yang kini menjadi dokumen wajib sepanjang berada di Mekah, termasuk larangan meminjamkan dokumen itu kepada orang lain.
“Seperti biasa, saban tahun akan ada peraturan baharu dan juga peraturan lama yang diperketatkan pelaksanaannya. Contohnya penggunaan aplikasi sebagai kelulusan untuk jemaah memasuki Tanah Suci Mekah khususnya ke Masjidil Haram.
“Justeru, adalah penting semua jemaah sentiasa menjaga keselamatan kad Nusuk dan memakainya serta mempamerkannya terutama di tempat awam kerana pihak berkuasa Arab Saudi sentiasa melakukan pemeriksaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Jemaah Haji Malaysia KT01 di Mekah bagi musim haji 1447H/2026M di sini semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan di setiap sekatan kini dilaksanakan secara menyeluruh termasuk imbasan kod dan semakan identiti oleh pihak berkuasa Saudi bagi memastikan keselamatan, keselesaan serta kelancaran ibadah jutaan jemaah dari seluruh dunia.
“Penguatkuasaan ini penting bagi mengelakkan kemasukan individu tanpa permit sah ke Tanah Haram, yang boleh menyebabkan jumlah jemaah meningkat secara tidak terkawal, malah berpotensi melebihi dua juta orang,” katanya.
Tambahnya, kerajaan Arab Saudi selaku penjaga dua tanah suci bertanggungjawab memastikan pengurusan haji berjalan lancar dan selamat.
Dalam pada itu, beliau berkata, kebanyakan peraturan yang dilaksanakan bukanlah baharu sepenuhnya, sebaliknya telah diperkenalkan sejak tahun lalu, namun penguatkuasaan kini lebih ketat.
Katanya, pihaknya bersama Tabung Haji memastikan semua peraturan disampaikan dengan jelas kepada jemaah Malaysia yang terkenal dengan disiplin serta kepatuhan tinggi terhadap arahan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
4
















































