Jasmine Food lancar mural interaktif semarakkan sambutan Hari Kebangsaan

5 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Jasmine Food Sdn Bhd (Jasmine Food) memperkenalkan sebuah mural khas sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, bagi menyemarakkan lagi suasana perayaan tahun ini.

Ketua Bahagian Penjenamaan dan Pembangunan Produk Jasmine Food, Farhan Hafetz berkata, mural berwarna-warni itu bukan sekadar hasil karya seni, sebaliknya menjadi simbol penghargaan kepada rakyat Malaysia dengan menampilkan kisah tradisi dan cita rasa masyarakat majmuk negara melalui makanan ruji kegemaran ramai iaitu nasi.

Terletak di kawasan penuh bersejarah di Jalan Kamunting, Kuala Lumpur, mural yang diwarnakan oleh Jasmine Food memaparkan suasana kemesraan di dapur kampung sehingga ke meja makan di tengah-tengah bandar yang sibuk yang mana nasi sentiasa menjadi lambang kasih sayang, keselesaan dan kebersamaan.

“Mural yang dihasilkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Jalan Kamunting sebagai sinar permata yang menggabungkan makanan, kebudayaan dan kesenian.

“Selain itu, kita juga mahu memartabatkan lagi Jalan Kamunting ini sebagai satu tempat tarikan kepada warga tempatan dan juga pelancong luar negara,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian mural interaktif tersebut di sini hari ini.

Pengunjung bergambar bersama mural pada Majlis Pelancaran Mural Interaktif sempena Merdeka dan Hari Malaysia Anjuran Jasmine Food Corporation (JFC) dengan kerjasama DBKL di Jalan Kemuning. – Foto ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

Selain itu Farhan berkata, mural Interaktif itu turut dikuasakan oleh Kecerdasan Buatan (AI) dan Augmented Reality (AR) di mana lukisan-lukisan di dinding menjadi ‘hidup’ apabila diimbas melalui telefon pintar.

“Perancangan projek mural ini bermula daripada bulan Jun lagi, namun kami perlu masa untuk merangka konsep, mendapatkan lesen dan sebagainya sebelum ia mula dilukis pada 24 Ogos lalu.

“Dalam masa satu minggu, mural bersaiz 650 kaki persegi ini berjaya disiapkan oleh tiga pelukis mural yang diketuai oleh Amey Sheikh Ali,” katanya.

Katanya, Jasmine Food turut mengedarkan 1,000 pek nasi lemak kepada para pengunjung Hari Bebas Kenderaan Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Jasmine Food, Alan Kwong dan Duta Jasmine Food, Datuk Jalaluddin Hassan.

Sementara itu, Penolong Jurutera Kanan Jabatan Kawalan Bangunan DBKL, Faizal azmin berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama Jasmine Food, pemilik premis serta pihak berkepentingan lain dalam usaha memperindah ibu negara menerusi projek mural.

Beliau berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menyerikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, malah bakal menjadi tarikan sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Melalui mural, dinding lama dan usang dapat dihidupkan semula dengan karya seni.

“DBKL juga aktif menjalin kerjasama rapat dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta artis tempatan yang tampil menyumbangkan bakat dan hasil kreatif mereka demi memperindah wajah bandar raya,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang berminat turut dijemput untuk menyertai peraduan “Snap & Win” di mana peserta dikehendaki mengambil gambar paling kreatif di mural Jasmine Food dan kongsikan dengan tanda pagar #NasiWarisanKita di Facebook atau Instagram sehingga Disember 2025. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |