TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat selepas hilang selama 15 hari di Gunung Batu Putih di sini, memaklumkan bahawa dia pernah mendengar bunyi seperti tiupan wisel ketika berada di kawasan hutan tersebut.
Perkara itu dikongsikan Jaslinda kepada Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd. Asmadi Abdullah, 63, selepas wanita berkenaan ditemui berhampiran sungai di kampung tersebut.
Menurut Mohd. Asmadi, Jaslinda turut berkongsi pengalamannya ketika berada dalam hutan, termasuk perasaan seolah-olah dirinya dipanggil selain merasakan kehadiran individu lain di sekelilingnya.
Bagaimanapun, wanita itu memberitahu, apabila diamati, tiada kehadiran sesiapa pun di sisinya ketika itu.
“Dia beritahu, ketika duduk dalam hutan, dia rasa macam ada orang, macam memanggil. Jadi dia gembiralah, tapi bila tengok tiada orang.
“Dia juga ada dengar bunyi macam wisel, tapi bila diperiksa, memang tak ada sesiapa. Dia tak nampak sesiapa pun, tapi dia rasa macam ramai orang di sekeliling,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Gaharu, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Asmadi, ketika diberitahu mengenai penemuan Jaslinda, dia yang ketika itu berada di rumah pada mulanya tidak percaya sehingga mengambil keputusan untuk keluar melihat sendiri.
“Saya dengar budak menjerit-jerit, terkejutlah pada mulanya dan tertanya-tanya betul ke itu Jaslinda. Bila lihat sendiri, saya lega melihat dia selamat dan bawa dia ke rumah.
“Sebagai penduduk kampung, kami rasa bertanggungjawab untuk membantu. Kami sediakan makanan kerana dia mengadu lapar dan haus,” katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, Jaslinda mungkin menyusuri laluan Sungai Air Tawar iaitu kira-kira 10 kilometer dari Kampung Lubuk Gaharu sebelum sampai ke kawasan kampung berkenaan.
Katanya, bagi penduduk setempat, laluan tersebut memang sering dilalui bagi mencari hasil hutan termasuklah durian.
“Kalau dari sini nak ke Gunung Batu Putih dah tak jauh dah. Boleh sampai dalam tempoh tiga jam.
“Kalau orang kampung, naik pukul 8 pagi boleh sampai dalam pukul 11 pagi. Bagi orang luar, keadaan tentulah berbeza, tambahan pula dalam keadaan lemah, perjalanan jadi perlahan,” katanya.
Mohd. Asmadi turut memaklumkan, sebelum penemuan mangsa, penduduk kampung tidak menemui sebarang petunjuk seperti kesan tapak kaki atau bunyi meminta tolong di kawasan berkenaan.
“Jarang pendaki guna laluan ini. Biasanya hanya penduduk kampung yang guna untuk cari hasil hutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
6








![[VIDEO] Enam maut SUV bertembung lori](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/ENAM-MAUT-SUV.jpeg)




































