KUALA LUMPUR – Meskipun sudah menginjak usia 67 tahun, penyanyi Datuk Amy Search memastikan dirinya sentiasa aktif melakukan aktiviti fizikal pada setiap hari bagi mengekalkan stamina.
Menurut pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman, dia enggan menjadikan faktor umur sebagai alasan untuk sekadar berehat di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti senaman.
“Kena cergas, ada orang rasa dia dah pencen mahu relaks di rumah tapi saya tidak.
“Saya hari-hari mesti berpeluh. Berbasikal solo, hiking atau main pickleball.
“Hari-hari mesti nak berpeluh. Tak peluh jadi tidak seronok,” katanya kepada Kosmo! Online pada pada pertandingan Pickleball 5 Bomoh, baru-baru ini.
Selain mengekalkan gaya hidup aktif, pelantun lagu Isabella itu turut mengutamakan pengambilan makanan tambahan bagi menyokong kesihatan dalaman.
“Suplemen sangat penting untuk saya. Setakat ini, doktor periksa beberapa bulan lalu, semuanya baik.
“Kolestrol saya baik, jantung bagus dan doktor kata saya macam 45 tahun,” ujarnya.
Malah, dia mengakui mula menitikberatkan soal pemeriksaan kesihatan secara berkala sejak mencecah usia 50 tahun atas nasihat isterinya.
“Saya rasa sejak saya berusia 50 tahun dah buat pemeriksaan kesihatan.
“Selalu isteri saya cakap umur macam saya kena selalu periksa, kena selalu ambil vitamin,” tuturnya.
Dalam kesempatan itu, Amy menitipkan pesanan kepada orang ramai agar tidak culas dalam melakukan saringan kesihatan sebelum terlambat.
“Kalau seseorang jarang buat pemeriksaan kesihatan, dia takut kalau tiba-tiba ada sesuatu kan. Tapi nasihat saya kepada orang di luar sana, lebih baik buat pemeriksaan kesihatan.
“Jangan sampai benda dah hinggap (sakit) baru nak pergi. Pastikan hindari perkara tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
8









![[VIDEO] Enam maut SUV bertembung lori](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/ENAM-MAUT-SUV.jpeg)



































