JAIS nafi masjid tuntut RM1,400, keliru punca jenazah terbiar sejam

8 hours ago 9

SHAH ALAM – Kelewatan urusan pengebumian jenazah seorang lelaki di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang berpunca daripada kekeliruan waris menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada pihak yang tiada hubungan dengan masjid.

Malah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan masjid itu menuntut bayaran RM1,400 daripada waris bagi pengurusan jenazah berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, siasatan dan semakan pihaknya mendapati jenazah itu merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan meninggal dunia pukul 6.22 pagi kelmarin.

Menurutnya, waris di peringkat awal berurusan dengan Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tiada kaitan dengan pihak masjid bagi pengebumian jenazah di lokasi di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Bapa arwah hanya menemui pembantu pengurus masjid bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan bersetuju pihak masjid mengambil alih daripada BKS untuk meneruskan urusan pengebumian.

“Pihak masjid telah mengeluarkan borang itu selepas menerima daftar kematian asal dan dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras mahu jenazah diuruskan BKS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak masjid yang mengambil kira kemungkinan berlaku kekecohan di lokasi pengurusan jenazah kemudian meminta bantuan polis.

“Setibanya di tempat pengurusan jenazah di Surau An-Nur, Taman Cempaka, pihak masjid dimaklumkan jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan oleh pihak BKS.

“Berikutan waris terus membawa jenazah tanpa dua dokumen sah, urusan pengebumian tidak dapat diselesaikan sehingga pihak masjid dihubungi Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang memaklumkan jenazah berada di liang lahad,” katanya.

Menurut beliau, pihak masjid kemudian membawa dokumen sah itu ke tanah perkuburan bagi membolehkan pengebumian disempurnakan.

“Pihak masjid juga mendapati borang permohonan pengebumian dikemukakan waris kepada pengurusan kubur adalah palsu dan satu laporan polis telah dibuat semalam.

“JAIS menafikan kelewatan disebabkan pihak masjid, namun kerana kekeliruan pihak waris dan pihak masjid tiada menuntut bayaran RM1,400 bagi pengurusan jenazah itu,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan urusan pengebumian jenazah itu tertangguh hampir sejam kerana pertikaian mengenai caj pengurusan jenazah oleh pihak pengurusan sebuah masjid. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |