Isteri menangis suami dijel 30 tahun kerana ‘sentuh’ anak angkat

5 hours ago 2

MUAR – Seorang wanita tidak menahan kesedihan dan menangis sejurus mengetahui suami dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dsn enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol anak angkatnya, lapan tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai kontraktor itu gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dalam pembelaan dihadapinya.

Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati keterangan tertuduh lebih kepada bersifat penafian dan tidak disokong fakta yang munasabah.

Hujahnya, mahkamah turut mendapati bukti sudah mencukupi sepanjang perbicaraan berlangsung untuk mensabitkan tertuduh dengan kesalahan dilakukan terhadap mangsa.

“Keterangan saksi pendakwaan ketiga (SP3) yang juga mangsa dalam kes ini konsisten dan tidak goyang, ketika pemeriksaan balas dijalankan oleh peguam tertuduh.

“Oleh yang demikian tertuduh didapati bersalah dan disabitkan seperti mana tiga pertuduhan rogol mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan seterusnya boleh dihukum mengikut Seksyen 376 kanun sama.

“Dalam kes ini, mangsa masih bawah umur dan bersekolah. Selepas mengambil kira semua faktor, mahkamah memutuskan kamu (tertuduh) dipenjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

“Bagaimanapun, mahkamah menimbang semua hukuman penjara dijalankan serentak dari tarikh sabitan hari ini,” hujahnya.

Serentak dengan keputusan, tertuduh diwakili peguam, Munirah Najihah Shaari memohon mahkamah untuk penangguhan hukuman penjara dan sebatan kerana mahu menfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Abu Bakar kemudiannya membenarkan permohonan peguam tetapi menaikkan jumlah ikat jamin RM6,000 yang dikenakan sebelum kepada RM9,000.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi.

Sepanjang perbicaraan berlangsung sejak 2018, seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol anak angkatnya berusia 16 tahun ketika kejadian, dalam bilik sebuah rumah di daerah ini, antara pukul 2 hingga 4 pagi, Januari 2017.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perkara sama terhadap mangsa pada Julai 2017 manakala pertuduhan ketiga, pada Disember 2017 dengan semua kejadian berlaku di tempat dan waktu sama. -KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |