PETALING JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan esok, Isnin, kekal sebagai hari bekerja di negeri itu.
Ia susulan penyebaran poster palsu mendakwa kerajaan negeri mengisytiharkan cuti umum sempena kejayaan kontinjen Selangor pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.
Amirudin berkata, sebarang pengumuman rasmi berkaitan Cuti Umum Peristiwa, sekiranya ada, hanya akan dibuat pada Majlis Penutup Sukma pada pukul 8 malam esok.
“Insya-Allah sebarang pengumuman rasmi berkenaan Cuti Umum Peristiwa (sekiranya ada) hanya akan dibuat pada Majlis Penutup Kejohanan Sukma 2026 pada 24 haribulan, Isnin jam 8 malam nanti.
“Oleh itu sila ambil maklum bahawa poster yang telah tersebar ini adalah palsu dan tidak benar sama sekali.
“Hari Isnin 24 Ogos 2026 adalah kekal hari bekerja di Selangor,” katanya menerusi hantaran di Threads malam ini.
Beliau turut memuat naik poster yang sedang tersebar dengan perkataan ‘PALSU’ tertera pada imej tersebut.
Poster berkenaan mendakwa kerajaan negeri mengisytiharkan Isnin sebagai cuti umum di seluruh Selangor sempena kemenangan kontinjen negeri pada Sukma.
Setakat pukul 6.30 petang hari ini, Selangor terus mendahului kedudukan pingat dengan 94 emas, 68 perak dan 66 gangsa, menjadikan keseluruhan 228 pingat.
Jumlah itu menyaksikan Selangor jauh meninggalkan Wilayah Persekutuan di kedudukan kedua yang mengumpul 43 emas, 45 perak dan 45 gangsa, manakala Terengganu berada di tempat ketiga dengan 41 emas, 43 perak dan 34 gangsa.
Pencapaian 94 emas itu juga menyaksikan kontinjen tuan rumah sudah melepasi sasaran awal 80 pingat emas yang ditetapkan bagi temasya kali ini.
Terdahulu, kerajaan negeri dilaporkan mempertimbangkan pemberian cuti peristiwa sekiranya Selangor muncul juara keseluruhan Sukma.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi sebelum ini berkata, cadangan berkenaan akan diusulkan kepada Amirudin untuk dipertimbangkan selepas kiraan pingat dimuktamadkan.
Amirudin turut mendapatkan pandangan orang ramai menerusi undian di Threads mengenai kemungkinan pemberian cuti sekiranya Selangor muncul juara keseluruhan.– KOSMO! ONLINE

1 day ago
7



































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)













