InstaCash pembiayaan peribadi khusus pekerja swasta

6 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat memperkenalkan produk terbaharunya, Pembiayaan Peribadi-i Swasta (InstaCash) sebagai inisiatif menyediakan kemudahan pembiayaan peribadi patuh syariah yang mudah, pantas dan inklusif khusus kepada golongan pekerja swasta.

Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Khairudin Abdul Rahman berkata, inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen pihak bank dalam memperluaskan akses kepada penyelesaian kewangan yang menyeluruh dan berlandaskan prinsip kewangan Islam.

“Kami percaya InstaCash bukan sahaja akan memperkasakan pelanggan dari segi keperluan kewangan harian mereka, malah turut mencerminkan iltizam kami untuk memperluaskan inklusi kewangan kepada pekerja sektor swasta di seluruh negara.

“Kami di Bank Rakyat percaya bahawa setiap individu wajar diberi peluang untuk mencapai kesejahteraan kewangan, tanpa mengira latar belakang pekerjaan. InstaCash juga diperkenalkan sebagai penyelesaian inklusif yang menekankan proses permohonan yang ringkas, telus dan efisien,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian produk tersebut di Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Khairudin berkata, InstaCash menawarkan kelulusan pembiayaan segera dalam tempoh 24 jam dengan jumlah pembiayaan sehingga RM50,000.

“Permohonan ini memerlukan dokumen yang ringkas dan mudah seperti slip gaji dan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta menawarkan kadar keuntungan yang kompetitif serta proses permohonan yang mudah.

“InstaCash yang dilancarkan pada 16 Jun ini juga sudah mencatatkan sebanyak 88 permohonan dengan pembiayaan berjumlah RM1.3 juta disalurkan dalam tempoh dua hari,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Bank Rakyat turut menyasarkan sebanyak RM20 juta pembiayaan disalurkan sebulan dengan jumlah RM240 juta setahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |