KUALA LUMPUR – Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM) mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan insentif cukai khusus bagi menggalakkan lebih ramai wanita untuk menceburi bidang pekerjaan terutamanya di peringkat tertinggi.
Naib Presiden MPPM, Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi berkata, dengan adanya insentif seperti itu, ia boleh membantu sasaran kerajaan Iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus wanita menjawat jawatan di peringkat tertinggi sesebuah organisasi atau syarikat.
“Antara insentif yang kita cadangkan termasuklah potongan cukai hasil penggajian kepada golongan wanita bekerja ini lebih rendah berbanding lelaki. Mungkin insentif ini dilaksanakan dalam tempoh lima tahun secara interim supaya kita dapat lihat keberkesanannya (menarik minat wanita bekerja).
“Kita bukan nak diskriminasikan (golongan lelaki), tetapi kita mahu menggalakkan lebih ramai wanita untuk bekerja terutamanya selepas mereka menamatkan pengajian di universiti atau kolej.
“Kita tidak mahu golongan wanita ini menamatkan kerjaya mereka setakat di universiti sahaja dan kemudiannya ‘stop’ selepas berkahwin (menjadi suri rumah sepenuh masa),”katanya ketika ditemui pada Forum Bual Bicara Kempimpinan Wanita dalam Perniagaan di sini.
Bertemakan “Change The Future, Think Outside The Box”, forum itu menggabungkan pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang untuk berkongsi pengalaman, idea, inspirasi kepada peserta, khususnya golongan wanita muda dan professional dalam dunia kepimpinan serta keusahawanan.
Mengulas lanjut, Roselina berkata, fenomena tersebut perlu ditangani memandangkan ketika ini terdapat lebih 70 peratus penuntut universiti adalah terdiri daripada golongan wanita.
“Jika mereka (penuntut wanita) tidak meneruskan kerjaya selepas berkahwin kerana mungkin desakan keluarga atau terikat dengan tanggungjawab, negara akan mengalami krisis kekurangan tenaga kerja mahir.
“Fenomena ini perlu kita tangani segera. Sebab itu kita turut mencadangkan agar wanita diberikan kelonggaran termasuk bekerja dari rumah (WFH) sebagai salah satu pendekatan untuk menarik minat mereka bekerja dan memanfaatkan ilmu yang dipelajari di universiti,”katanya.
Selain itu kata Roselina, MPPM turut mencadangkan supaya satu kurikulum khas diwujudkan di peringkat universiti dalam usaha untuk memperkasakan kepimpinan wanita.
“Perkara ini (kurikulum khas) akan kita bawa ke Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan harapan ia dapat merubah mentaliti wanita yang tidak mahu meneruskan kerjaya selepas tamat belajar atau berkahwin,”katanya.-KOSMO! ONLINE