PETALING JAYA – Infinity Logistics & Transport Sdn. Bhd. (Infinity Logistics) dan anak syarikat MMC Port Holdings Berhad (MMC Ports), Northport (Malaysia) Bhd (Northport) merasmikan seni mural berskala besar di Gudang D4, Northport Distripark Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Pengarah Urusan Infinity Logistics, Datuk Seri Chan Kong Yew berkata, mural tersebut menjadi lambang kolaborasi dan visi bersama antara Northport dan Infinity Logistics dalam mewujudkan tempat kerja yang inklusif, menarik dan memberi inspirasi.
Beliau berkata, mural berkenaan juga bukam sekadar tarikan visual kerana karya seni itu mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi terhadap perpaduan, saling menghormati dan
budaya korporat yang menghargai individu sebagai aset terpenting syarikat.
“Sektor logistik dan pelabuhan berkembang kerana kekuatan insan yang menggerakkannya dengan bekerja tanpa henti untuk memastikan operasi berjalan lancar.
“Mural ini menggambarkan perpaduan, kepelbagaian dan dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi dengan setiap ekspresi menyampaikan cerita tentang ketabahan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, projek
seni mural itu menyerlahkan sinergi erat antara Northport dan rakan perniagaannya dalam komitmen bersama untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan menarik.
“Ia bukan sekadar tentang hasil seni, tetapi mencerminkan rasa kebersamaan dan perpaduan yang mendalam di kalangan kakitangan kedua-dua buah syarikat sebagai ‘Barisan Hadapan Ekonomi’ yang berkhidmat untuk negara,” katanya.
Mengangkat konsep ‘Kepelbagaian’, mural tersebut direka dan dilukis oleh artis seni lukis tempatan yang terkenal, Dr. Caryn Koh, dan berjaya disiapkan hanya dalam masa 13 hari.-KOSMO! ONLINE