Hilang Kasyorga bukan drama cinta ‘megah holding’

8 hours ago 3

DALAM lambakan drama cinta dan ‘megah holdings’ yang klise, rumah produksi Country & Universal Sdn. Bhd. tampil berani dengan mengangkat isu semasa dan realiti menerusi naskhah Hilang Kasyorga.

Sempat menonton episod pertama karya yang diterbitkan untuk Unifi TV Originals pada majlis tayangan perdana baru-baru ini, ternyata drama arahan sutradara Feroz Kader itu berjaya memberi rasa dan warna yang berbeza.

Kisahnya bermula apabila seorang kanak-kanak lorong bernama Kasyorga hilang tanpa dikesan selepas keluar bermain dengan seorang rakannya.

“Penggambaran dilakukan di lorong-lorong sekitar Chow Kit, Pudu dan Bukit Bintang, lokasi sebenar kisah anak lorong.

“Seperti mana ‘raw’ lokasi penggambaran, begitu jugalah cerita yang dipaparkan dalam Hilang Kasyorga. Cerita ini memang berat iaitu tentang kegelapan hidup di lorong tetapi perlu diceritakan untuk membuka mata dan hati orang ramai,” kata Feroz.

Selain lokasi yang ‘real’ cabaran lain adalah menyatukan begitu ramai nama besar dalam sebuah naskhah.

Antara barisan pelakon membintangi drama Hilang Kasyorga adalah Nabila Huda, Kamal Adli, Azhar Sulaiman, Adra Mikayla, Ellie Suriaty, Luqman Hafiz, Arfie Shah, Hariz Hamdan, Fadilah Mansor, Hafidzuddin, Kodi Rashid dan Dina Allysha.

“Seronok bekerja dengan pelakon-pelakon yang berkaliber kerana mereka akan memberi sesuatu yang luar biasa di set penggambaran.

kAMAL dan Adra berjaya membawa watak masing-masing dengan cemerlang.

“Contoh seperti Azhar Sulaiman watak seorang lelaki yang tempang kakinya, sebenarnya dalam skrip tidak ada pun kata cacat tetapi hasil perbincangan di set penggambaran kami cuba reka sesuatu yang buat penonton lebih kasihan kepadanya.

“Memang sakit untuk Azhar berjalan sebegitu, namun pelakon yang sebenar tidak pernah mengeluh, Kamal juga sama, watak sebagai pembunuh upahan banyak adegan lawan.

“Biarpun penat kerana penggambaran dilakukan dari pagi sampai pagi esoknya, kesungguhan untuk buat terbaik wajar dipuji. Profesionalisme mereka memudahkan saya sebagai pengarah untuk berkarya,” tutur Feroz.

AZHAR Sulaiman sebagai Pak Bakar, lelaki tua dan hidup merempat yang berdepan ujian apabila anak perempuannya tiba-tiba hilang.

Tahan sakit watak tempang

Aktor Azhar Sulaiman, 53, yang memegang watak Pak Bakar, bapa angkat kepada kanak-kanak yang hilang itu mengakui terseksa untuk melakonkan watak lelaki yang cacat kakinya. Berjalan senget sepanjang penggambaran membuatkan pinggangnya sakit dan tapak kakinya membengkak.

“Masa hari pertama berlakon berjalan senget, buat-buat terkehel saya sudah menyesal (ketawa). Semasa berlakon okey tidak rasa sakit, tetapi apabila berjalan normal selepas tiga minggu mula rasa sakit dipinggang dan tapak kaki.

“Bukan itu sahaja, wajah saya dalam cerita ini juga memang nampak sangat berbeza. Memang sekali tengok nampak susah dan tua sangat.

“Sebagai pelakon kita ada teknik-teknik seperti tidur dua jam sebelum penggambaran. Tiba giliran saya bangun terus berlakon. Jadi, bayangkan muka bangun tidur dengan mata merah dan sembab.

“Saya tidak kisah nampak buruk, kerana pada usia sebegini dan pengalaman yang ada saya tidak boleh gagal untuk membina karakter,” tegas Azhar.

Dalam pada itu, Kamal sebagai Rodi yang diamanahkan mencari kanak-kanak hilang mengakui wataknya cukup berat.

Meskipun memiliki begitu banyak katalog watak-watak di lorong sebelum ini, Hilang Kasyorga terasa berbeza.

“Apa yang boleh saya katakan wataknya tidak mudah tetapi disebabkan semua pelakon tahu kerja masing-masing dan tiada yang terlebih method, semua orang gembira bekerja,” ujar Kamal.

Drama enam episod siri Unifi TV Originals berkenaan menemui penonton 23 Jun ini menerusi saluran DEGUP, Unifi TV. Episod baharu boleh ditonton setiap Isnin, pukul 11 malam.

HILANG Kasyorga yang mengangkat kisah lorong dibintangi Kamal Adli, Nabila Huda, Azhar Sulaiman, Adra Mikayla, Ellie Suriaty, Hafidzuddin, Hariz Hamdan, Kodi Rashid dan ramai lagi.
Read Entire Article
Pertanian | | | |