PETALING JAYA – Lebih 500 kaki pancing dari seluruh negara dijangka menyertai Cabaran Joran Selangor 2025 yang akan berlangsung Ahad ini, 28 September di Tasik Bandaran Kelana Jaya dekat sini.
Pertandingan memancing tahunan itu dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Kembara Media Events dan bakal menjadi antara acara tumpuan dalam kalendar sukan rekreasi serta pelancongan domestik.
Acara ini menawarkan jumlah hadiah wang tunai melebihi RM25,500. Juara bakal membawa pulang RM10,000, naib juara menerima RM3,000 manakala tempat ketiga akan membawa pulang RM1,000.
Hadiah turut ditawarkan hingga ke tempat ke-100, sekali gus membuka peluang kemenangan kepada semua peserta tanpa mengira tahap pengalaman.
Sebagai tambahan, peserta juga berpeluang memenangi tiga unit televisyen 32 inci menerusi cabutan bertuah sepanjang acara berlangsung.
Bagi edisi kali ini, tiga buah tasik utama di Kelana Jaya akan dibuka khas bagi pertandingan, memberi lebih ruang dan pilihan kepada para pemancing.
Tasik-tasik tersebut dihuni pelbagai spesies ikan bersaiz mega seperti patin, keli, jelawat, belida dan banyak lagi, menjadikannya antara lokasi pilihan utama kaki pancing tegar.
Untuk rekod, pada pertandingan Februari lalu, seekor ikan patin seberat 13.305 kilogram dinobatkan sebagai tangkapan terbaik.
Menurut Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan bin Hj. Hassan, penganjuran acara ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuh hubungan kekeluargaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat menerusi sektor pelancongan.
Beliau berkata, program seumpama ini juga merupakan usaha MBPJ dalam mempromosikan produk pelancongan tempatan, selain menjadikan Petaling Jaya sebagai destinasi riadah keluarga dan rekreasi air yang menarik.
“Penyertaan hanya dikenakan bayaran RM70 bagi satu joran (dua mata). Kaunter pendaftaran akan dibuka pada Sabtu, 27 September dari jam 3 petang hingga 7 malam dan disambung pada hari pertandingan bermula pukul 6.30 pagi.
“Sebanyak 500 helai t-shirt eksklusif turut diberikan kepada peserta yang mendaftar awal sebagai penghargaan atas sokongan mereka terhadap program ini,” katanya.
Cabaran Joran Selangor 2025 juga mendapat sokongan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025, selain kerjasama pelbagai agensi serta rakan strategik yang komited dalam memperkasa industri pelancongan negeri.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Syukur di talian 013-266 7011 dan Ali (012-284 6811).-KOSMO! ONLINE.