BALING – Seorang guru lelaki ditemukan maut selepas kereta Perodua Viva yang dia pandu terbabas ke dalam parit di Kampung Batu 48, Bongor, di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu berlaku ketika mangsa, Saiful Yazan Hasan, 44, dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kampung Banggol Leban, di sini selepas memotong rumput di kebun terletak berhampiran.
Abang mangsa, Hamdan Jamil, 49, berkata, adiknya yang mengajar di Maktab Mahmud Kuala Ketil dipercayai baru sahaja memotong rumput di kebun milik ibu, tidak jauh dari situ.
“Adik mungkin terlibat kemalangan semasa hendak pulang ke rumah ibu. Arwah memang seorang yang rajin dan kerap pulang ke rumah ibu setiap kali ada masa lapang. Arwah tinggal di Sungai Petani bersama isteri dan dua anaknya,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya adalah pada Hari Raya Aidilfitri lepas.
“Walaupun terkejut dengan kejadian ini, saya reda dengan apa yang berlaku. Arwah sebelum ini ada masalah jantung, tetapi bulan lepas doktor memaklumkan yang dia sudah sihat sepenuhnya,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md. Ali berkata, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan di laluan bertentangan. Mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, mangsa didapati masih berada di dalam kereta dengan pintu di sebelah pemandu tidak dapat dibuka.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tidak tersepit sebelum petugas Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE