Guru KAFA rayu bayar ansuran baiki kereta, baki bank tinggal RM4.11

6 hours ago 5

PETALING JAYA – Seorang mekanik melalui detik sedih apabila pelanggan memohon untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi membaiki keretanya disebabkan masalah kewangan.

Muhammad Johary Yusuf menceritakan momen seorang wanita yang bekerja sebagai guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) memohon untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi kos membaiki kereta.

Wanita tersebut dipercayai datang ke bengkelnya dalam keadaan serba kekurangan, namun tetap berusaha menjaga maruah diri tanpa meminta simpati.

Difahamkan, wanita itu mempunyai masalah kesempitan wang akibat menanggung tanggungan yang banyak serta berjanji akan berusaha membayarnya dalam kadar segera.

“Gaji bersih hanya RM970 sahaja, tetapi dia kata memang memerlukan kereta ini sebab dia seorang sahaja tanggung anak nak pergi dan balik dari sekolah nak guna kereta itu

“Wanita itu tidak minta untuk bayaran dikurangkan atau ditangguhkan, tetapi hanya minta izin nak bayar perlahan-lahan, katanya paling lambat dalam masa empat bulan,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Menurut Muhammad Johary, dia kagum dengan kesabaran wanita tersebut meskipun berada dalam titik rendah dalam kehidupannya.

“Dia buka aplikasi bank menunjukkan baki wang dalam itu ada RM4.11 sahaja tapi dia diam tak minta tolong atau menangis, dia hanya wanita yang dalam kesempitan.

“Dia masih jaga maruah dan tidak merayu cuma minta ruang untuk terus bertahan hidup dan dipermudahkan urusan,” tambahnya.

Mempertimbangkan nasib yang menimpa wanita berkenaan, lelaki itu akhirnya memutuskan untuk membenarkan wanita tersebut untuk membayar kos pembaikan kereta itu secara ansuran.

Tinjauan Kosmo! mendapati kebanyakan netizen memuji keprihatinan Muhammad Johary dan mendoakan agar dia dimurahkan rezeki serta dipermudahkan urusan.

“Terima kasih orang baik. Semoga Allah melimpahi rezekimu. Diberi kesihatan yang baik, serta dirahmati dunia dan akhirat,” komen NapiNapi.

“Semoga Allah memberi rezeki yang tidak putus-putus kepada awak dan ustazah itu,” kata Nor Izan.

“Semoga rezeki abang dilipat gandakan. Inilah guna bengkel orang Melayu kalau tak kita yang bantu, siapa lagi yang bantu,” balas Raje Nazrul King Lagend. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |