‘Goodluck’ siapa lalu Bukit Jalil petang ni

8 hours ago 9

KUALA LUMPUR – Pengguna jalan raya yang melalui kawasan Bukit Jalil hari ini mungkin perlu bersedia menghadapi kesesakan lalu lintas luar biasa apabila dua konsert berskala besar berlangsung serentak di lokasi berdekatan.

Perkara itu tular di media sosial selepas seorang pengguna Threads berkongsi amaran kepada orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan yang dijangka berlaku terutama pada waktu petang hingga malam.

Menurut perkongsian tersebut, dua konsert berkenaan dianggarkan menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung secara keseluruhan.

Acara yang berlangsung adalah konsert kumpulan Hujan sempena ulang tahun ke-20 yang dijangka menghimpunkan kira-kira 15,000 penonton di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Satu lagi konsert melibat artis China, Lay Zhang di Unifi Arena dengan kehadiran sekitar 5,000 peminat.

“Kalau esok korang tersangkut jem dekat Bukit Jalil… Jangan kata tak ada siapa beri amaran,” tulis pemilik akaun itu, semalam.

Menerusi hantaran sama, pengguna jalan raya yang mempunyai urusan di sekitar Bukit Jalil, Sri Petaling, Technology Park Malaysia (TPM), Pavilion Bukit Jalil dan IOI Putrajaya dinasihatkan supaya keluar lebih awal atau mempertimbangkan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.

Tinjauan di Threads turut mendapati beberapa pengguna memuat naik gambar dan video menunjukkan aliran trafik mula sesak di beberapa laluan sekitar Bukit Jalil seawal petang tadi.

Seorang pengguna memaklumkan kesesakan berlaku di susur keluar Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) menghala ke Bukit Jalil kira-kira pukul 2.20 petang.

Seorang lagi mengesahkan kawasan itu mengalami kesesakan dipercayai susulan penganjuran dua konsert yang berlangsung serentak.

“Maaf tanya… Ada konsert ke malam ni di Bukit Jalil? Sebab jem teruk,” tulis seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |