PARIS – Polis Perancis menahan 12 suspek selepas 145 orang melaporkan bahawa mereka disuntik dengan picagari semasa menonton festival muzik jalanan tahunan negara itu, kata beberapa pegawai semalam.
Berjuta-juta orang membanjiri jalan-jalan di serata Perancis petang kelmarin untuk menonton festival Fete de la Musique, dengan pihak berkuasa melaporkan mengenai ‘jumlah pengunjung begitu ramai dan tidak pernah berlaku’ di Paris.
Sebelum festival muzik bermula, sebilangan hantaran di media sosial menyeru agar wanita dijadikan sasaran semasa acara tersebut.
Kementerian dalam negeri berkata, 145 mangsa di seluruh negara mengadu ditikam dengan jarum. Polis Paris melaporkan 13 kes di ibu negara berkenaan sahaja.
Beberapa pegawai berkata, mereka tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa disuntik dengan dengan dadah rohypnol atau GHB. Dadah itu digunakan penyerang untuk menyebabkan mangsa keliru atau tidak sedarkan diri sekali gus terdedah kepada serangan seksual.
“Beberapa mangsa dibawa ke hospital untuk ujian toksikologi,” kata kementerian sama.
Di Paris, siasatan dibuka selepas tiga orang termasuk seorang seorang gadis berumur 15 tahun dan seorang lelaki berusia 18 tahun mengadu diri mereka ditikam dalam insiden berasingan di seluruh Paris, kata pendakwa raya.
Ketiga-tiga mereka melaporkan berasa tidak sihat.
Di seluruh Perancis, 12 suspek telah ditangkap, kata kementerian dalam negeri. Antara mereka termasuk empat orang di Angouleme. Bandar di barat daya Perancis itu melaporkan sekitar 50 mangsa, kata sumber polis.
Selain semua suspek tersebut, lebih 370 orang turut ditahan semasa festival atas pelbagai kesalahan, termasuk hampir 90 orang di Paris. – AFP