KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai masa depan gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik semakin hangat diperkatakan apabila mereka dijangka dipisahkan buat sementara waktu susulan prestasi kurang meyakinkan dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini.
Petunjuk paling jelas hadir menerusi senarai pendaftaran Terbuka Jepun bulan depan yang menyaksikan Aaron bakal bergandingan dengan Tee Kai Wun, manakala Wooi Yik dijadual beraksi bersama Man Wei Chong.
Jika perubahan itu menjadi kenyataan, ia bakal menamatkan sementara kerjasama antara Aaron dan Wooi Yik yang pernah menghadiahkan pelbagai kejayaan besar buat negara termasuk gelaran dunia serta beberapa pingat di kejohanan utama antarabangsa.
Langkah berani tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha barisan kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) mencari formula terbaik selepas prestasi pasangan No. 3 dunia itu mula menunjukkan penurunan sejak beberapa bulan lalu.
Selepas gagal mempertahankan kejuaraan Asia di Ningbo, Aaron-Wooi Yik turut bergelut pada saingan Piala Thomas sebelum terkandas di separuh akhir Malaysia Masters dan suku akhir Terbuka Singapura.
Kemerosotan itu berterusan apabila mereka tersingkir seawal pusingan kedua Terbuka Indonesia selepas tewas mengejut kepada pasangan muda tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin dalam aksi di Istora Senayan, Jakarta.
Mengulas kekalahan tersebut, Aaron mengakui lawan mempamerkan permainan yang cukup matang meskipun masih muda selain tidak tertekan ketika beraksi di gelanggang sendiri.
“Saya rasa mungkin mereka masih muda. Mereka bermain tanpa beban dan itu menjadi kelebihan mereka. Serangan dan pertahanan mereka juga saya rasa agak konsisten,” katanya.
Sekiranya percaturan baharu itu diteruskan, keputusan tersebut bakal menjadi antara eksperimen terbesar ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menjelang Kejohanan Dunia di India dan Sukan Asia 2026, selain persediaan awal menghadapi kempen kelayakan Olimpik Los Angeles 2028 yang akan bermula tahun depan. KOSMO! ONLINE

6 hours ago
6















![[VIDEO] MB Negeri Sembilan umum bubar DUN berkuat kuasa 5 Jun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-04-at-23.44.18.jpeg)





























