KEKALAHAN besar 1-5 kepada New Zealand pada aksi Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2026 tidak mengubah sasaran utama skuad hoki lelaki negara apabila ketua jurulatih, Brendon Carolan tetap meletakkan Sukan Asia sebagai misi terbesar pasukan tahun ini.
Menurut Carolan, keputusan mengecewakan yang dialami di Afrika Selatan perlu dijadikan pengajaran buat Speedy Tigers untuk terus memperbaiki kelemahan sebelum menghadapi cabaran lebih besar dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang Sukan Asia selain terus menunjukkan peningkatan dalam setiap kejohanan yang disertai.
“Bagi kami, sasaran utama adalah untuk menjadi pasukan yang lebih baik menjelang Sukan Asia dan perkara itu tidak berubah. Itulah matlamat terbesar kami ketika ini.
“Kami perlu memastikan pasukan berada pada tahap terbaik dalam tempoh tiga bulan akan datang. Kami perlu bangkit semula, memperbaiki prestasi dan terus meningkatkan kualiti permainan,” katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, Malaysia yang memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir gagal menandingi kehebatan New Zealand apabila dibolosi lima kali, manakala gol tunggal negara disumbangkan Mohamad Akhimullah Anuar Esook.
Mengulas kekalahan itu, Carolan mengakui beliau kecewa dengan persembahan anak buahnya terutama selepas pasukan memulakan perlawanan dengan baik sebelum hilang rentak dan dihukum menerusi beberapa kesilapan mudah.
“Sudah tentu kami kecewa dengan keputusan ini. Kami sebenarnya memulakan perlawanan dengan baik, tetapi kami perlu lebih konsisten sepanjang permainan.
“Apa yang penting sekarang adalah menilai semula perlawanan ini, melihat apa yang perlu diperbaiki dan memastikan kami tampil lebih baik selepas ini,” ujarnya.

15 hours ago
5















































