PETALING JAYA – Impian Selangor FC untuk bergelar raja kelab Asia Tenggara tidak kesampaian selepas tewas 1-3 secara agregt kepada Buriram United pada aksi final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Chang Arena, sebentar tadi.
Pada perlawanan final kedua itu, skuad Gergasi Merah kendalian Kim Pan-gon yang tewas 0-1 pada aksi final pertama minggu lalu memulakan perlawanan dengan cukup positif apabila beberapa kali menguji benteng tuan rumah sejurus wisel permulaan ditiupkan
Kapten Selangor FC, Faisal Halim hampir membuka tirai jaringan menerusi percubaan dari sudut sukar tetapi berjaya ditepis penjaga gol berpengalaman tuan rumah, Neil Etheridge.
Selangor terus memberi tekanan dan sekali lagi hampir mendahului pada minit ke-10 menerusi rembatan Nooa Laine dari dalam kotak penalti, tetapi Etheridge sekali lagi cemerlang menyelamatkan keadaan.
Asakan berterusan pelawat akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-18 apabila Syahir Bashah meledak rembatan jarak jauh menewaskan Etheridge untuk menyamakan kedudukan agregat 1-1.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Buriram berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi penyudah Suphanat Mueanta hasil hantaran lorongan cantik daripada Theerathon Bunmathan.
Bersambung babak kedua, Selangor kembali cuba menguasai permainan dengan Vitor Pernambuco hampir mengembalikan kelebihan pasukan pada minit ke-48, namun Etheridge sekali lagi menjadi penghalang utama.
Tuan rumah kemudian menghukum kegagalan Selangor memanfaatkan peluang apabila Theerathon meledak gol kemenangan menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-55.
Tersentak dengan jaringan itu, Selangor meningkatkan intensiti serangan dan hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-77 menerusi tandukan Chrigor, namun Etheridge tampil menyelamatkan percubaan tersebut dengan aksi cemerlang.
Buriram berjaya melebarkan jaringan menerusi Robert Zulj pada masa kecederaan tetapi dibatalkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) dengan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
Kekalahan tersebut turut menyaksikan hasrat Merah Kuning untuk beraksi dalam kejohanan bertaraf antarabangsa pada musim depan berakhir selepas turut mengakhiri kempen Liga Super di kedudukan ke-3. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4












































